Hampir 46,000 pekerja peruncitan terima vaksin
BATU KAWAN - Sebanyak 45,960 pekerja sektor peruncitan telah menerima vaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) yang dijalankan di empat negeri sejak 26 Julai lepas.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13,500 pekerja sektor peruncitan telah lengkap menerima dos kedua mereka.
"Sebanyak sembilan Pusat Pemberian Vaksinasi Industri (PPVIN) di bawah RiVAC dibuka ketika ini membabitkan masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Selangor serta masing-masing satu di Putrajaya dan Melaka manakala di Pulau Pinang terdapat tiga PPVIN.
"Kami menjangkakan lebih ramai lagi pekerja golongan tersebut akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di PPVIN RiVAC di Design Village, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Hasnol Zam Zam memberitahu, pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak PPVIN RiVAC dalam masa terdekat dan ketika ini perbincangan sedang dijalankan dengan kerajaan negeri Johor, Pahang dan Kedah untuk pembukaan PPVIN di sana supaya lebih ramai pekerja sektor peruncitan menerima vaksin.
"Kalau ikut sasaran awal, lebih 80 peratus daripada keseluruhan pekerja sektor peruncitan ini menerima vaksin menjelang Oktober nanti namun dengan penambahan beberapa lagi PPVIN RiVAC proses itu mungkin lebih cepat.
"Kalau boleh selesaikan (80 peratus suntikan vaksin kepada pekerja peruncitan) dalam bulan Ogos ini juga, mengapa tidak? Dalam hal ini, kita amat menggalakkan mereka untuk tampil ke depan (mendapatkan vaksin), lagipun ketika ini ramai pengguna memilih untuk masuk ke premis perniagaan yang pekerjanya sudah lengkap divaksin," katanya.
Beliau berkata RiVAC adalah sokongan kepada program vaksinasi kerajaan dan alternatif kepada para pekerja khususnya dalam sektor peruncitan serta pengedaran untuk mendapatkan kemudahan vaksinasi lebih cepat.
Menurutnya, KPDNHEP juga menggalakkan majikan dalam sektor peruncitan dan pengedaran supaya menyegerakan proses vaksinasi untuk pekerja masing-masing bagi membolehkan perniagaan mereka kembali beroperasi seperti biasa.
"Dalam hal ini, kami sedia memberikan sokongan dan bantuan jika diperlukan. Sebagai contoh KPDNHEP pernah membantu menyediakan 10 buah bas kepada majikan dari Pahang untuk membawa pekerja sektor peruncitan divaksin di Kuala Lumpur kerana mereka tidak mahu menunggu terlalu lama sebelum divaksin," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!