'Kami dah buat macam-macam tapi tetap tumpul'
PENGENDALI Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui sudah buntu dengan masalah ketumpulan jentera serangannya selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Jumaat.
Menurutnya, kegagalan menyudahkan banyak peluang terhidang memberikan kesan besar kepada pasukan dan terpaksa terus bergelut untuk cuba menjauhi zon penyingkiran.
"Hari ini memang separuh masa pertama kami bermain baik khasnya 20 minit terakhir itu. Kami banyak cipta peluang tapi tak dapat nak sudahkan peluang itu. Separuh masa kedua pula, kami banyak leka.
"Kami bagi gol yang tak sepatunya diberi dan dengan kesilapan itu corak permainan terus hilang. Kesilapan yang dilakukan itu padah buat Pahang.
"Sejak akhir-akhir ini juga nampak susah nak jaringkan gol. Saya tak tahu kenapa sebab kami dah cuba macam-macam dalam latihan. Kami juga dah bagi penyerang untuk latihan shooting dan sebagainya tapi masih lagi benda ini (ketumpulan) berlaku.
"Jadi, mungkin itu yang buatkan ada pemain yang tak puas hati khasnya di bahagian pertahanan dan kat situ berlakunya kesilapan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dua gol KL City FC dijaringkan pada babak kedua perlawanan menerusi pemain import dari Colombia Romel Oswaldo Morales pada minit ke-49 sebelum pemain tengah Zhafri Yahya meledak gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-70.
Dengan saingan liga berbaki empat perlawanan, posisi Sri Pahang FC masih belum selamat apabila hanya dipisahkan empat mata dengan Perak FC yang berada di kedudukan kedua tercorot sekali gus di ambang penyingkiran ke saingan Liga Premier musim depan.
Dalam pada itu, pengendali KL City FC, Bojan Hodak mengakui gembira dengan kemenangan tersebut sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan berturut.
"Saya gembira kerana ini merupakan kemenangan pertama di laman lawan musim ini dan dua kemenmangan berturut dan tanpa bolos dalam dua perlawnan.
"Kemenangan ini penting kepada pemain dan untuk meningkatan motiavsi mereka. Dalam masa sama, ketika ini kami sembilan perlawanan tanpa kalah dan ia satu pencapaian yang sangat menakjubkan.
"Kami juga sebenaranya mampu menang besar hari ini, tetapi masalah kami musim ini adalah di jentera serangan. Kami juga kehilangan dua penyerang import akibat kecederaan," katanya.
KL City FC kini mengumpul 27 mata di kedudukan keenam liga selepas mengharungi 19 perlawanan dan dijadualkan melayani kunjungan TFC pada aksi seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!