Bekas ADUN Selinsing meninggal
IPOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selinsing, Datuk Zaili Cha meninggal dunia pada jam 3 petang di Hospital Taiping akibat jangkitan Covid-19 pada Sabtu.
Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu berita mengenai pemergiaan Allahyarham diterima kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, pemergian Zaili merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada UMNO Bahagian Bagan Serai tetapi kepada penduduk di kawasan DUN Selinsing.
"Saya amat sedih dengan pemergian Allahyarham kerana hubungan kami sangat rapat dan kami bersama-sama sejak menjadi pemimpin Belia 4B lagi kemudian diteruskan di dalam kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Serai.
"Allahyarham banyak sumbangan di kawasan DUN Selinsing. Banyak projek-projek pembangunan yang dibawa ke kawasan itu ketika menjadi ADUN pada tahun 2004. Jasa Allahyarham akan tetap dikenang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, selain menjadi ADUN, Zaili juga pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai pada tahun 2008 sebelum melepaskan jawatan berkenaan.
Sham yang juga ADUN Alor Pongsu turut terkilan kerana tidak dapat menziarahi Allahyarham ketika beliau berada di hospital dan sewaktu meninggal dunia kerana Covid-19.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan UMNO Bahagian Bagan Serai amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian tersebut.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Ar-Rahmaniah, Gunung Semanggol sejurus semua proses selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!