Negeri Sembilan kembali rampas takhta Liga Premier
NEGERI Sembilan FC merampas kembali kedudukan teratas Liga Premier selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Sabtu.
Beraksi di laman lawan, skuad Hobin Jang Hobin membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi sepakan penalti kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Kelantan United.
Skuad kendalian K Devan kemudian menggandakan jaringan menerusi penyerang import dari Togo, Francis Kone pada minit ke-81, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh untuk melonjak daripada kedudukan ketiga ke persada liga.
Negeri Sembilan FC kini mengumpul 32 mata selepas 16 perlawanan, mengatasi Sarawak United FC dengan kelebihan satu mata, yang meraih 31 mata selepas 15 perlawanan, manakala Kelantan United berada di tempat kelapan dengan 20 mata selepas 17 perlawanan.
Sementara itu, Kuching City FC mencatatkan kemenangan ketiga musim ini, selepas menewaskan Kelantan FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Kuching City yang turun selaku pasukan tuan rumah, meraih gol menerusi Alif Hassan pada minit ke-13, Michael Ijezie (34) dan Joseph Kalang Tie (57), manakala gol sagu hati Kelantan dijaringkan oleh Christos Intzidis (32).
Kelantan FC kekal di kedudukan ketujuh dengan 21 mata selepas 17 perlawanan, manakala Kuching City yang sebelum ini terkesan dengan beberapa pemain dijangkiti Covid-19, berada di tempat kedua tercorot dalam kalangan 11 pasukan, dengan 13 mata daripada 11 perlawanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!