'Geng Imut' curi motosikal tumpas

Rasikin (kanan) menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Imut baru-baru ini.
Rasikin (kanan) menunjukkan motosikal yang dirampas daripada Geng Imut baru-baru ini.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal atau Geng Imut selepas menahan enam lelaki termasuk dua warga Indonesia di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, tangkapan dibuat bermula 13 hingga 18 Februari lalu selepas hampir seminggu pihaknya membuat pemantauan di tujuh lokasi.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Bukit Puchong, tiga suspek lelaki ditahan bersama tiga buah motosikal.

Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan membawa kepada rampasan sebuah lagi motosikal di Bandar Puchong Jaya.

"Polis kemudiannya menyerbu satu lokasi di Telok Panglima Garang dan berjaya menahan seorang lagi suspek bersama peralatan mencuri dan membuat nombor chasis baru motosikal.

"Dengan penahanan itu membawa kita kepada tangkapan dua lagi suspek warga Indonesia di Jenjarom dan Telok Panglima Garang bersama dua buah motosikal, " katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.

Risikin berkata, dua buah lagi motosikal dirampas pihaknya dalam serbuan akhir di Petaling Jaya dan Bukit Puchong.

Menurutnya, tujuh motosikal dirampas adalah jenis Yamaha LC dan sebuah jenis Honda EX5.

Artikel Berkaitan:

"Soal siasat dijalankan mendapati motosikal dicuri sebahagiannya dileraikan untuk dijual dan kegunaan sendiri.

"Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 30 tahun itu kini direman di bawah Seksyen 379A dan seksyen 411 kerana memiliki barangan curi,"katanya.

Risikin berkata, penahanan Geng Imut itu merupakan kejayaan terbesar pihaknya bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!