'PDRM perlukan sekurang-kurangnya satu batalion PGA di Sarawak'
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan sekurang-kurangnya satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sarawak untuk menguatkan lagi tahap kawalan keselamatan sempadan di negeri itu berikutan pembangunan Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, batalion berkenaan berkemungkinan ditempatkan di Kapit, Sarawak memandangkan ia berhampiran dengan Kalimantan.
Batalion yang baharu jelas beliau, diperlukan di Kapit memandangkan keluasannya yang besar dan tidak memadai jika hanya satu kompeni ditempatkan di kawasan itu untuk melakukan kawalan keselamatan.
“Kami sedia maklum tentang Kalimantan yang ingin dijadikan sebagai ibu negara Indonesia yang baharu dan pembangunannya sangat cepat,” katanya dalam wawancara khas kepada Bernama di Bukit Aman baru-baru ini.
Menurut beliau, laluan tidak sah atau lorong-lorong tikus juga ada banyak di kawasan itu dan terdapat keperluan menempatkan batalion baharu di sana.
Beliau berkata dikhuatiri kegiatan penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin akan meningkat dan semakin serius sekiranya tidak dilakukan apa-apa perubahan di sana.
Dalam perkembangan berasingan, Zainal Abidin memberitahu, pihaknya dalam perancangan untuk menambah bilangan keanggotaan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) KDNKA berdasarkan kejayaan dan rampasan melibatkan jutaan ringgit yang dilakukan unit itu sejak ditubuhkan kurang empat tahun lepas.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, ketika ini CPSK mempunyai seramai 30 pegawai dan anggota dan dijangka akan ditambah bilangannya sehingga 100 orang pada tahun ini.
Unit berkenaan jelasnya memainkan peranan penting dan penambahan keanggotaan itu akan dibahagi secara ‘wilayah’ misalnya di utara, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak yang mana ketika ini unit ini berpusat di Bukit Aman.
“... dan mereka (CPSK) telah diajar cara buat risik, cara rampasan, penandaan apabila buat rampasan dan sebagainya sebelum diserahkan kepada pegawai di lapangan untuk buat siasatan lanjut serta pertuduhan terhadap penjenayah.
“Kami pergi bukan sekadar hendak buat rampasan semata-mata bahkan mahu (siasatan dan pertuduhan) di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) dan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001). Tanpa intelligence (risikan) yang cukup, AMLA dan POCA tidak boleh dibuat (dilaksanakan),” katanya.
Menurut beliau, rampasan dan tangkapan boleh sahaja dilakukan namun untuk membuat pertuduhan di bawah POCA dan AMLA memerlukan tenaga kerja yang ramai bagi melakukan siasatan terperinci dan itulah sebabnya CPSK dijangka bertambah keanggotaannya sehingga 100 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!