Intensiti Islam dalam sastera

Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (dua dari kiri), melancarkan buku Adab Dalam Teromba Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu di USIM baru-baru ini. (Gambar kecil: Ismail )
Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz (dua dari kiri), melancarkan buku Adab Dalam Teromba Unsur Islam Dalam Kesusasteraan Melayu di USIM baru-baru ini. (Gambar kecil: Ismail )
A
A
A

MENJELAJAH ke dunia muzik rap, kita pastinya sering mendengar keunikan lantunan ungkapan bahasa puisi yang disampaikan melalui rhythm dan rhyme yang tersendiri.

Muzik rap dikatakan popular sekitar awal 1970-an dan berasal daripada komuniti Afrika- Amerika di New York City. Nama-nama besar rappers terkenal dan popular seperti Sugar Hill Gangs, Diddy, Snoop Dogg, Jay-Z, Eminem, Lil Wayne dan ramai lagi telah berjaya meletakkan genre muzik rap terkenal di seluruh dunia.

Di Malaysia misalnya, sebut sahaja beberapa nama seperti Too Phat, Altimet, tentu kita akan terbayang betapa sinonimnya mereka dengan kemahiran melantunkan ‘spoken-word poetry’ yang mempunyai ritma dan rima yang kita kenali sebagai rap ini.

Kejayaan rappers Malaysia mengangkat genre muzik rap menunjukkan muzik sentiasa dinamik dan bergerak pantas mengikut keperluan jiwa anak muda daripada generasi ke generasi. Namun tanpa kita sedari jika kita meneroka ke dalam puisi tradisional Alam Melayu, pastinya kita juga akan menemui sejumlah ‘rappers tradisional’ seperti Mohd Rosli Saludin yang memperjuangkan konsep persembahan yang seakan sama dengan muzik komuniti Afrika-Amerika ini yang kita kenali sebagai teromba, rap cara Melayu yang popular di Negeri Sembilan.

Puisi tradisional teromba, adalah salah satu warisan khazanah bangsa yang menggabungkan teknik pengucapan atau lantunan kata-kata dengan ritma atau chanted rhythmic speech yang muncul di Alam Melayu khususnya di Negeri Sembilan.

Seperti muzik rap yang menyerlahkan gaya penyampaian menggunapakai teknik words are not sung but are spoken in a rapid, rhythmic way, teromba juga menggabungkan ‘spoken-word poetry’ atau melantunkan puisi tradisional dalam bahasa ibunda Negeri Sembilan seperti perbilangan kata, pantun, terasul, pepatah, petitih, bidalan dengan gaya yang hampir sama.

Apa yang mungkin membezakan teromba dan rap adalah penggunaan rima dalam lantunan dan susunan di hujung perkataan tidaklah menjadi satu kemestian, ada ketika menggunakan rima dan adakala secara bebas dan mengikut kesesuaian tema teks dalam teromba. Kita teliti petikan teromba Pantun Menghantar Cincin ini yang tidak menggunakan rima dalam teks;

Hilir air sungai landau,

Artikel Berkaitan:

Dalam pulak paras dada,

Bukan pulak menunjuk pandai,

Kerana menyambut adat Lembaga.

Abdul Rozak Zaidan mengatakan teromba adalah sejenis tambo (riwayat) berbentuk prosa berirama dan kadang-kadang pantun bercerita. Malah Mohd Rosli Saludin seorang pengkaji dan tokoh Teromba di Negeri Sembilan menyatakan bahawa teromba juga dikenali kerana fungsinya sebagai penyampai atau alat komunikasi dalam perbilangan adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat.

Teromba

Alam Melayu diakui merimbun dengan kesantunan yang luar biasa. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969 dan 1972) setelah Islam menyantuni jiwa dan tauhid masyarakat Melayu sekitar abad ke-13, transisi daripada zaman Hindu-Buddha kepada Melayu – Islam telah meledakkan tajdid budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Aspek pengkaryaan seni dan sastera menjurus kepada keakraban persoalan kosmos orang Melayu dalam mencari al-Khaliq dan nilai-nilai Islam yang mendatarkan lekuk kejahilan menjadi lurus kehidupan bertauhid. Awang Sariyan (2015) turut mengatakan keagungan syiar Islam telah mempengaruhi kreativiti para pemikir dan ulama silam, pengkarya dan pujangga Melayu yang mengizharkan roh Islam dalam penghasilan puisi tradisional dengan memasukkan ilmu kalam, fiqah mahupun metafizik atau tasawuf.

Bak kata Panofsky (1955), mengamati kreativiti dan pengkaryaan seni dan sastera memerlukan akal fikir yang menghiris tajam dan cakna kepada persoalan intrinsik yang terkandung dalam sesuatu karya. Seorang ahli sejarah terkenal Jerman-Amerika, Richard Ettinghausen dalam artikel beliau mengenai pandangan Imam Al-Ghazzali berkaitan keindahan telah menulis seperti berikut;...the beauty of the inner form can only be perceived by the eye of the ‘heart’ and the light of inner vision.

Ketegasan Imam Ghazali dalam memberi panduan menghayati karya seni yang memberi makna kepada kehidupan insan tergambar dalam citra pengkaryaan puisi tradisional orang Melayu. Suntikan roh Islam ke dalam periuk kreativiti orang Melayu seperti teromba misalnya bukan sahaja membentuk penghasilan karya seni avant-garde malah mengukuhkan spiritual dan jati diri orang Melayu.

Menggembara ke dalam teks manuskrip teromba, kita akan bertemu unsur Islam yang merimbun begitu sarat sekali. Keseluruhan tema yang dimasyhurkan dalam teromba selari dengan konsep Islam Minhajul Hayat yang membawa makna Islam sebagai pedoman kepada kehidupan masyarakat mencakupi aspek sosial, politik dan budaya.

Meninjau teromba Buah Hati Ibu misalnya merakamkan nasihat seorang ibu yang berharap anaknya selalu menjaga adab dalam kehidupan. Umpamanya petikan rangkap teromba Buah Hati Ibu seperti dibawah ini;

Wahai anakanda buah hati ibu,

Pegang olehmu sifat malu,

Jagalah mulut jangan terlalu,

Jagalah hati jangan cemburu.

Wahai anakanad dengarlah pesan,

Sifat malu jangan tinggalkan,

Supaya terpelihara kaki berjalan,

Lidahmu tidak mengaib malukan.

Bait-bait yang terakam dalam teromba Buah Hati Ibu berkisar tentang nasihat seorang ibu kepada anaknya supaya mementingkan sifat malu dalam gerak geri dan perbuatan. Hilang sifat malu boleh mendatangkan aib dan bencana yang akhirnya memakan diri sendiri. Islam mengajar muslim sejati agar sentiasa mempunyai perasan malu dalam hal-hal yang menuntutnya.

Menelusuri manuskrip Teromba turut mempertemukan kita dengan kekayaan pelbagai tema yang mengangkat unsur al-dunya dan al-akhirah seperti persoalan adat, ekonomi, politik dan pemerintahan, perihal nikah kahwin, kekeluargaan, pesan ibu, adab berguru, adab dalam kehidupan yang mempunyai nilai murni, pedoman dan pengajaran.

Adab sebagai kata kunci membawa maksud konsep pendidikan yang terhimpun dalam istilah ta’dib yang berasal daripada kalimah Arab: addaba-yu’addibu-ta’dib. Addaba bermaksub mendisiplinkan seseorang itu dengan adab. Manakala ta’dib pula merujuk kepada proses disiplin diri tersebut yang telah disimpulkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (2012) sebagai penyerahan adab ke dalam diri.

Refleksi

Kesusasteraan dan kesenian adalah refleksi kepada aras fikir masyarakat khususnya dalam memaparkan nilai atau value kepada ketamadunan manusia pada eranya. Pengkaryaan puisi tradisional seperti nazam, syair, pantun, lagu rakyat mahupun teromba memperlihatkan keluasan kreativiti yang menggabungkan unsur naqliah dan akliah.

Begitu cocok berkampung di tanah adat Negeri Sembilan, Pusat Kebudayaan USIM mengendong amanah dan mengakrabi seni warisan orang Melayu. Selain seni persembahan Cak Lempong dan Bongai yang agak popular di Negeri Sembilan, cabang dari periuk puisi tradisional Teromba adalah khazanah bangsa terbaru yang telah diangkat melalui penerbitan buku Adab Dalam Teromba: Unsur Islam dalam Kesusasteraan Melayu.

Buku istimewa ini telah dilancarkan oleh Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Sri Menanti pada tanggal 29 Mac 2021 di Universiti Sains Islam Malaysia. Buku ini ditulis oleh Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin yang merupakan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup dan Tokoh Sastera Negeri Sembilan.

Inisiatif menerbitkan sebuah buku yang sangat istimewa dan penting ini tentunya berupaya membuka lembaran yang penting dalam usaha memartabatkan khazanah bangsa yang tidak ternilai harganya. Percayalah, seribu tahun lagi buku Adab Dalam Teromba: Unsur Islam dalam Kesusasteraan Melayu mampu mengangkat dan mendorong generasi baru belajar teknik persembahan vokal rap cara Melayu.

Semoga puisi tradisional seperti Teromba ini akan menjadi emas dan intan serta rujukan generasi masa depan yang mencari warisan akal budi nenek moyangnya, ORANG MELAYU. Biarlah nak rap berkreativiti sampai ke hujung dunia sekalipun, CARA MELAYU dilupa jangan.

Dek mas segala kemas,

Dek padi segala jadi,

Elok lenggang di nan datar,

Rancak berarak di hari panas,

Majlis di tepi air,

Elok bahasa di nan lagi,

Hilang rona dek penyakit,

Hilang bangsa tak beremas.

* Ismail Ahmed ialah Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Universiti Sains Islam Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!