Gaduh dengan rakan sampai mati
KULIM - Seorang lelaki mati dipercayai akibat cedera parah selepas bertengkar dengan rakannya di Pekan Kulim di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, melalui siasatan awal, mangsa berusia 30 tahun bersama rakannya sedang minum minuman keras di kedainya sehingga jam 1.30 pagi.
"Polis menerima maklumat mengenai satu pergaduhan antara si mati dan rakannya di hadapan sebuah kedai di Pekan Kulim sebelum kedua-duanya mengalami cedera parah dan terbaring di bahu jalan.
"Anggota polis yang tiba di tempat kejadian menghubungi ambulans. Mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kulim," katanya.
Mior Farid berkata, polis berjaya menangkap suspek berusia 41 tahun yang juga seorang lelaki India di lokasi dan turut menerima tiga sehingga empat jahitan di kepala semasa dirawat.
Menurutnya, satu topi keledar yang digunakan untuk menyerang mangsa turut dirampas dan suspek ditahan reman sehingga 7 Mac ini untuk siasatan lanjut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!