'Kembalikan keseimbangan politik, teroka seni bina politik baharu'
KUALA LUMPUR - Tugas ahli-ahli politik ketika ini adalah untuk berubah, jadi lebih matang dengan membawa politik itu kembali kepada keseimbangannya.
Tegas Tan Sri Annuar Musa, keadaan ekuilibrium ini sangat penting supaya usaha memulihkan negara daripada krisis cetusan pandemik Covid-19 ini dapat berjalan dengan lancar.
“Dalam suasana ekuilibrium politik yang belum mantap setelah kerajaan Pakatan Harapan jatuh, kemudian terbentuk kerajaan Perikatan Nasional, dan dengan 15 orang menarik diri telah mewujudkan satu disekuilibrium yang agak serius.
“Jadi tanggungjawab kita sebagai ahli politik sekarang ini untuk menyegerakan proses mewujudkan keseimbangan,” katanya dalam program Agenda Awani pada Sabtu.
Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, ini merupakan satu seni bina politik yang menuntut kreativiti para penggerakknya, tidak boleh lagi terus berpegang dengan cara lama.
Zaman politik solo, politik dominan, politik ketuanan, politik ‘big brother’, kata Annuar, sudah berlalu. Kini waktu menerima realiti kebergantungan hidup bersama dengan memperkasakan budaya kerjasama.
“Mana-mana parti yang ingin terus hidup, dia amat bergantung kepada keupayaan untuk berunding dan membentuk satu konfigurasi kerjasama atau satu bentuk seni bina baharu yang mungkin tidak sama dengan sebelumnya.
“Tapi dalam sistem sebegini, harus ada kelompok teras," katanya.
Beliau percaya, politik Melayu dan Islam yang menjadi teras negara ini perlu diperkasakan. Jika benar caranya, mudahlah agenda inklusiviti dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Budaya politik konfrantasi, budaya politik ‘demand’, politik ugut yang menggunakan kuasa untuk menggugat keseimbangan, ini semua harus dihentikan.
“Kita kena cari titik persamaan, bukan perbezaan," jelasnya.
Maka kata Annuar suasana hari ini sewajarnya dimanfaatkan untuk membentuk semula gabungan kekuatan orang Melayu dan umat Islam dalam satu arah yang betul.
Beliau berharap semangat Muafakat Nasional dapat diperkasakan semula dalam bentuk yang tidak eksklusif, menerima realiti kepelbagaian kaum di negara ini, serta kepimpinan yang dapat memberi rasa selesa bukan kepada mana-mana kelompok kaum tertentu sahaja, tetapi keselesaan yang dapat dirasai semua.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!