13 PPV di Lembah Klang boleh 'walk-in' mulai esok

Kenyataan media CITF
Kenyataan media CITF
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai di sekitar Lembah Klang boleh menerima suntikan vaksin Covid-19 secara walk-in di 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula esok.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, langkah tersebut diambil susulan kadar kehadiran warganegara Malaysia di PPV bagi mendapatkan vaksin secara 'walk-in' semakin berkurangan sejak dilaksanakan 2 Ogos lalu.

Menurut CITF, PPV terbabit ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.

"Selain itu, PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Seri Bernam di Sabak Bernam, Stadium Tertutup Kuala Selangor dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat turut menerima individu walk-in.

"Bagi PPV Le Pavilion Gamuda Garden di Gombak dan Bukit Beruntung Golf Resort individu warganegara boleh mendapatkan vaksin secara walk in bermula Rabu dan Khamis manakala bermula Khamis untuk PPV Galaxy Mall Ampang serta di Universiti Multimedia, Cyberjaya," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, CITF turut memaklumkan PPV Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) yang khusus bagi warga asing untuk mendapatkan vaksin secara 'walk-in' hanya akan dilaksanakan hingga hari ini (Ahad) sahaja.

"Kaedah walk-in bagi warga asing akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu. Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula esok.

"Setiap warganegara dan warga asing yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi warga asing yang masih belum mendaftar untuk PICK perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau di www.vaksincovid.gov.my supaya janji temu dapat diberikan," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, bagi individu yang terlepas suntikan dos kedua, mereka boleh pergi ke mana-mana PPV yang disenaraikan berhampiran dengan kediaman.

Menurut kenyataan itu, sekiranya PPV berkenaan tidak menawarkan vaksin dari jenis yang sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

"Walk-in juga adalah berdasarkan kaedah 'first-come-first-serve' (siapa cepat dapat) bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV berkenaan iaitu individu walk-in akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari itu sudah habis digunakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!