Kurniawan tuntut aksi tiga mata Sabah di Likas

Pemain-pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persiapan menentang Penang FC di Likas malam ini. - Foto Sabah FC
Pemain-pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persiapan menentang Penang FC di Likas malam ini. - Foto Sabah FC
A
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menuntut aksi tiga mata daripada pemain-pemain The Rhinos apabila melayan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas malam ini.

Menurut Kurniawan, perlawanan menentang Penang FC adalah aksi yang sangat penting dalam memperbaiki kedudukan liga skuad kepulauan Borneo tersebut.

"Berbaki empat perlawanan lagi kita semuanya harus dapat hasil yang maksimum kerana persaingan di Liga Super sangat sengit.

"Jadi saya minta kepada semua pemain untuk fokus, bermain bermati-matian untuk memenangi setiap perlawanan bermula dengan menentang Penang FC.

" Insya-ALLAH, saya akan turunkan keseluruhan pemain terbaik kita kerana status terkini tidak ada pemain yang cedera dan semua pemain bersiap sedia untuk bermain," kata Kurniawan selepas sesi latihan pada Sabtu.

Pada masa sama Kurniawan memuji komitmen beberapa pemain muda Sabah yang mempamerkan kualiti permainan terbaik ketika diberikan tanggungjawab menggalas cabaran skuad Badak.

"Kami melihat potensi dalam kalangan pemain muda Sabah cukup bagus sehingga ikut serta dalam latihan bersama team senior kemudian mereka juga mendapat pengalaman minit perlawanan di Liga Super.

"Biarpun begitu kita perlu sangat hati-hati dalam menurunkan pemain-pemain muda ini kerana harus tepat masanya. Saya tidak mahu menurunkan mereka pada ketika mereka tidak bersedia untuk beraksi yang kemudiannya akan menjejaskan mental dan psikologi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita betul-betul sangat hati-hati dan mencari masa yang tepat untuk menurunkan pemain muda Sabah agar mereka mendapat pendedahan dan pengalaman kompetitif selain minit bermain," katanya.

Skuad kendalian Kurniawan kini mengumpul 19 mata selepas mengharungi 18 perlawanan hasil empat kemenangan, tujuh seri dan tujuh kekalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!