16 kes varian Delta dikesan di Johor
JOHOR BAHRU - Sebanyak 16 kes varian yang membimbangkan (VOC) dikesan di negeri ini, setakat Khamis lalu membabitkan varian Delta.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, kehadiran VOC itu menyebabkan penularan Covid-19 yang pantas dalam kalangan warga industri.
"Kes terbabit melibatkan daerah di Tangkak (11), Segamat (dua), Muar (satu), Batu Pahat (satu) dan Pontian (satu).
"Bagaimanapun, bilangan VOC yang dilaporkan adalah kecil dan masih lagi terkawal," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Abd Taib Abu Bakar (UMNO- Machap) berhubung punca peningkatan ketara kes Covid-19 sejak kebelakangan ini di Johor.
Soalan itu dikemukakan ketika Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini pada Ahad
Sementara itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini pada masa sekarang disebabkan gelombang ketiga Covid-19 yang berkait rapat dengan peningkatan kes di 'Greater Klang Valley' (GKV).
"Penularan dalam kalangan sektor industri mencatatkan 142 kluster yang masih lagi aktif.
"Sejak Jun, pihak Jabatan Kesihatan negeri mendapati pekerja industri yang merentasi negeri ke lokasi zon merah membawa balik virus Covid-19 dan seterusnya menularkan jangkitan kepada rakan sekerja dan rakan serumah dalam kalangan pekerja yang tinggal di asrama pekerja," katanya.
Jelasnya, penempatan pekerja-pekerja industri khususnya warga asing di dalam persekitaran yang sempit dan sesak di tempat tinggal dan bas pekerja, merupakan faktor utama yang perlu ditangani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!