Bina replika kapal layar depan rumah sempena bulan Kemerdekaan

Mohamed Haris dan cucunya Alya Qistina Mohd Afiq Syazwan berdiri di depan replika kapal layar yang dibinanya tahun tahun sempena bulan Kemerdekaan
Mohamed Haris dan cucunya Alya Qistina Mohd Afiq Syazwan berdiri di depan replika kapal layar yang dibinanya tahun tahun sempena bulan Kemerdekaan
A
A
A

TAMPIN – Seorang kontraktor di Kampung Ulu Ladang, Gemas di sini menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan kali ini dengan menghasilkan replika kapal layar.

Replika yang dibina Mohamed Haris Jantan, 58, daripada bahan terpakai itu sebagai simbolik terhadap keadaan politik negara yang tidak stabil ketika ini.

Mohamed Haris
Mohamed Haris

Menurut Mohamed Haris, hampir tiga bulan dia mengambil masa untuk menyiapkan replika berkenaan termasuk menghiasnya dengan Jalur Gemilang.

"Saya mula membina replika ini pada bulan Mei dan bahan digunakan semuanya daripada barang lebihan projek rumah seperti besi, zink dan tong cat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Replika kapal terbang.
Replika kapal terbang.

Bapa kepada empat anak itu sebelum ini pernah membina replika jet pejuang, kereta kebal dan kapal terbang.

Hasil kreativiti bapa kepada empat anak ini turut menjadi tarikan kepada masyarakat setempat untuk datang bergambar.

Artikel Berkaitan:

Cerita Mohamed Haris, keterujaannya untuk mengibarkan Jalur Gemilang secara agresif bermula pada tahun 2015 apabila Jabatan Penerangan menganjurkan pertandingan keceriaan kibar Jalur Gemilang sempena bulan Kemerdekaan.

Replika jet pejuang antara yang dibina Mohamed Haris.
Replika jet pejuang antara yang dibina Mohamed Haris.

"Sejak itu setiap kali masuk bulan kemerdekaan, saya jadi bersemangat memikirkan idea baharu untuk menghias rumah dengan jalur gemilang.

"Ia bukan sekadar untuk pertandingan semata-mata tetapi lebih kepada keseronokan untuk saya menyambut 31 Ogos," katanya yang pernah memenangi juara pertandingan kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan pada tahun 2016 anjuran Jabatan Penerangan.

Pada tahun ini katanya, sebanyak 1,000 Jalur Gemilang akan dipasang di rumahnya secara berperingkat.

Selain untuk kepuasan diri, Mohamed Haris juga berharap orang ramai yang melihat usahanya mengibarkan Jalur Gemilang dapat mengikut langkah sama dalam usaha menyemarakkan bulan kemerdekaan.

"Kalau bukan kita siapa lagi. Bukan mudah untuk kita mencapai kemerdekaan dan apalah salahnya kita meraikannya.

"Saya jadi lagi bersemangat apabila isteri sLilawaty M Taib, 55, sangat memberi dorongan termasuk anak-anak dan cucu-cucu yang rajin membantu memasang Jalur Gemilang, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!