'Terima kasih Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri'

Ismail Sabri turut berkongsi gambar Muhaini sedang membetulkan baju Melayu dipakainya dipercayai sebelum berangkat ke Istana Negara pada Sabtu.
Ismail Sabri turut berkongsi gambar Muhaini sedang membetulkan baju Melayu dipakainya dipercayai sebelum berangkat ke Istana Negara pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin kerana sentiasa berada disisinya ketika susah dan senang.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, isterinya, Muhaini atau panggilan manjanya 'Nani' disifatkan sebagai seorang yang ringkas dan tidak gemar menonjolkan diri.

"Isteri saya orang yang sentiasa ada di sisi saya, sejak berkawan dengan dia dari saya berumur 19 tahun.

Saya menyertai politik pada tahun 1986, pada umur 26 tahun dan waktu itu kami baru saja mendirikan rumah tangga.

"Nani (Muhaini) adalah seorang yang sangat simple (ringkas) dan sentiasa tak mahu berada di bawah spotlight (sorotan), sebab itu jarang sangat nampak dia.

"Thank you (terima kasih) Ni (Muhaini), sebab sentiasa ada di sisi (Ismail) Sabri.

Daripada (Ismail) Sabri tak ada apa-apa sehinggalah ke hari ini.

Susah senang bersama," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menerusi hantaran sama, Ismail Sabri turut berkongsi gambar Muhaini sedang membetulkan baju Melayu dipakainya dipercayai sebelum istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.

Hantaran yang dimuat naik kira-kira dua jam lalu itu mendapat lebih 100,000 tanda suka dan lebih 6,000 komen daripada warganet.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.

Pelantikan Naib Presiden UMNO yang telah mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat itu dibuat bagi menggantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui negara sejak 1 Mac tahun lalu berbuat demikian susulan dirinya telah hilang sokongan majoriti apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau.

ARTIKEL BERKAITAN:'Saya sudah lama yakin 'Yee' akan jadi PM'

ARTIKEL BERKAITAN:'Rasa tak percaya adik jadi PM': Abdul Manaf

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!