Hutan simpan kekal di NS dibuka, terhad 200 pendaki sehari

Kelihatan kumpulan berbasikal dan pendaki berehat di kaki Gunung Angsi di Kuala Pilah pada Ahad. Gambar kecil: Saleh Awaluddin
Kelihatan kumpulan berbasikal dan pendaki berehat di kaki Gunung Angsi di Kuala Pilah pada Ahad. Gambar kecil: Saleh Awaluddin
A
A
A

KUALA PILAH - Selepas lebih sebulan aktiviti pendakian di hutan simpan kekal di Negeri Sembilan (NS) ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini ia mula dibuka kembali kepada pengunjung bermula pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian di kaki Gunung Angsi dan Jalan Lama Bukit Putus pada Ahad mendapati, selain pengunjung datang untuk mendaki, kelihatan ramai melepaskan 'gian' melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal dan jogging.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin berkata, selain pengunjung perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihaknya turut menetapkan hanya 200 pendaki sahaja setiap hari.

"Kita buat keputusan untuk membuka semula kawasan pendakian selepas kerajaan mengumumkan yang aktiviti mendaki dibenarkan bagi negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Tapi bagi mengelakkan kesesakan, kita hadkan kehadiran yang mana mereka akan diberi nombor sebelum mendaki dan sebaik saja turun perlu kembalikan nombor itu kepada petugas Jabatan Perhutanan yang jaga di bahagian bawah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, pengunjung juga dinasihatkan merancang perjalanan pendakian dan tidak berada terlalu lama di atas puncak gunung.

Jelas beliau, menjadi tanggungjawab pengunjung untuk menjaga SOP ditetapkan dan jika didapati berlaku pelanggaran pihaknya tidak teragak-agak untuk menutup semula semua kawasan pendakian di negeri itu.

"Saya yakin kawasan hutan kita masih selamat, tapi jangan terlalu seronok kerana negara kita masih berdepan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan hutan simpan kekal di negeri lain masih belum dibuka, tapi kita buat keputusan untuk buka kerana memahami kehendak masyarakat yang tertunggu-tunggu untuk mereka melakukan aktiviti selepas lama terkurung di rumah," katanya.

Sementara itu katanya, Gunung Angsi dan Gunung Datuk di Rembau antara gunung di Negeri Sembilan yang menjadi tumpuan ramai.

Ujarnya, kedua-dua gunung itu pernah menerima kehadiran pengunjung sehingga 1,000 orang pada hujung minggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!