Bunyi letupan kecil selamatkan nyawa tiga sekeluarga

Nor Aliya Maisarah (kanan) menenangkan ibunya, Napisah yang masih bersedih mengenangkan nasib mereka selepas kehilangan harta benda sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Jias, Pasir Mas pada Ahad.
Nor Aliya Maisarah (kanan) menenangkan ibunya, Napisah yang masih bersedih mengenangkan nasib mereka selepas kehilangan harta benda sekelip mata dalam kejadian kebakaran di Kampung Jias, Pasir Mas pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Bunyi letupan kecil berjaya menyelamatkan tiga sekeluarga daripada rentung apabila rumah sewa mereka di Kampung Jias, di sini terbakar pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu disedari oleh Nor Aliya Maisarah Abdul Talib, 18, selepas mendengar bunyi letupan kecil tersebut.

Nor Aliya Maisarah berkata, sebaik sahaja mendengar bunyi itu, dia bergegas keluar dari biliknya untuk melakukan pemeriksaan dan terkejut mendapati api yang berpunca dari rumah kosong di sebelah rumahnya mula merebak.

"Saya terus membawa anak abang berusia dua tahun yang sedang tidur bersama dalam bilik ketika itu keluar untuk menyelamatkan diri.

"Kemudian saya mengejutkan abang yang tidur di bilik sebelah dan kami kemudian keluar bersama-sama untuk menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, api marak dengan begitu cepat menyebabkan mereka hanya mampu melihat dari jauh tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga di dalam rumah berkenaan.

Mohd Asyraf menunjukkan motosikal yang merupakan kenderaan utama mereka sekeluarga terbakar.
Mohd Asyraf menunjukkan motosikal yang merupakan kenderaan utama mereka sekeluarga terbakar.

Katanya, dia bersyukur apabila abang, Mohd Asyraf, 21, dan anak saudaranya, Nordia Arisya Mohd Asyraf terselamat dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, rumah yang disewa dengan bayaran RM200 sebulan itu didudukinya bersama abang, anak saudara serta ibunya, Napisah Mat Zin, 53, sejak 14 tahun lalu.

Jelasnya, namun ketika kejadian, ibunya itu tiada di rumah kerana pergi ke Pasar Tasek Raja yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah berkenaan.

"Setakat ini kami masih buntu memikirkan tempat baharu untuk meneruskan hidup kerana kejadian ini sangat mengejutkan," katanya.

Menurutnya, kebakaran tersebut bukan sahaja menyebabkan mereka kehilangan tempat berteduh tetapi turut mengalami kerugian apabila semua harta benda termasuk sebuah motosikal tidak berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.32 pagi.

Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba Pasir Mas dan Tunjong, Kota Bharu bersama dua buah jentera telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi kami dapati kebakaran melibatkan dua buah rumah.

"Salah satu daripada rumah itu sudah terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus," katanya.

Shapawi berkata, anggaran kerugian dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akuan Bank Rakyat atas nama Napisah Mat Zin di 2208-8350-1517.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!