Larangan jualan telur penyu, tuntung akan dikuat kuasa

Telur penyu agar yang mendarat di Batu Buruk pada 16 Ogos lalu.
Telur penyu agar yang mendarat di Batu Buruk pada 16 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri dijangka menguatkuasakan larangan jualan bagi semua jenis telur penyu dan tuntung bermula tahun depan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, penguatkuasaan itu akan dijalankan selepas pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November.

"Proses pindaan enakmen kini di peringkat akhir sebelum ia dibentangkan pada Sidang DUN nanti.

"Pindaan ini lebih tertumpu kepada akta pemuliharaan penyu termasuk pemuliharaan tuntung yang kali terakhir dipinda pada 1987.

"Insya-ALLAH ia akan diperketatkan lagi menerusi pindaan 2021 meliputi pindaan mengenai penjualan telur, peningkatan hukuman dan denda meliputi kesalahan menganggu serta membunuh penyu," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan input kepada 47 pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azman berkata, enakmen penyu Terengganu yang sebelum ini hanya menekankan pengharaman jualan terhadap penyu belimbing dilihat sudah tidak relevan dengan situasi semasa bagi terus memulihara hidupan itu.

"Peruntukan enakmen sedia ada hanya melarang penjualan telur penyu belimbing. Ia dilihat sudah tidak sesuai kerana penyu belimbing sudah lama tidak mendarat di Terengganu, kali terlahir dilihat sekitar tujuh tahun lalu.

"Jadi, kita akan pinda kepada satu enakmen baharu yang mengharamkan jualan bagi semua jenis telur penyu di Terengganu bagi memelihara semua spesies hidupan marin tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemantauan dijalankan terhadap penjualan telur penyu dan tuntung di samping maklumat awal mengenai pengharaman jualan telur haiwan berkenaan akan disalurkan dari masa ke masa.

"Maklumat awal akan disampaikan kepada peniaga supaya apabila penguatkuasaan dijalankan ia tidak memberi kejutan kepada mereka.

"Kita yakin perubahan ini boleh diterima memandangkan kebanyakan jualan telur ini bukan mata pencarian utama, ia sekadar pendapatan sampingan peniaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!