Stuart bakal isi kerusi CEO MFL baharu?
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, hampir pasti diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam tempoh terdekat.
Stuart, 44, yang dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada Julai 2018, dijangka diperkenalkan secara rasmi sebagai CEO baharu MFL selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang dijadual berlangsung esok, menurut sumber FAM.
“Stuart mempunyai latar belakang dan pengalaman dalam bidang pemasaran untuk membantu Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan menguruskan liga,” jelas sumber itu mengenai kredibiliti dimiliki Stuart.
Sejurus pengumuman itu dibuat, FAM akan menyusul dengan kenyataan kekosongan ditinggalkan Stuart, sebelum memuktamadkan pelantikan setiausaha agung baharu badan induk itu secepat mungkin.
Bernama difahamkan bekas Penolong Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, 61, menjadi pilihan utama untuk menggantikan Stuart, namun tiada hitam putih sehingga hari ini.
Menurut Artikel 63 Perenggan 1 Statut FAM, Setiausaha Agung hendaklah dilantik oleh Presiden atas nasihat Jawatankuasa Eksekutif.
Mohd Saifuddin mula menyertai FAM sejak 1993 hingga 2004, dengan menjawat jawatan terakhir sebagai Ketua Jabatan Pertandingan FAM.
Beliau kemudian menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama tiga tahun selaku pegawai pertandingan, sebelum kembali semula ke FAM pada 2007 dan dilantik sebagai penolong setiausaha agung.
Pada 2009, Mohd Saifuddin meletak jawatannya itu dan menerima peluang berkhidmat selaku Perunding Teknikal Liga Profesional Oman sehingga 2018.
Dalam pada itu, pencalonan Stuart sebagai CEO baharu MFL adalah susulan kekosongan ditinggalkan Ab Ghani, yang dipilih sebagai presiden baharu MFL pada Isnin lepas.
Stuart pernah dilantik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai ‘Professionalisation Consultant' pada 2008, dan menyertai AFC pada 2012 dengan memegang pelbagai jawatan, sebelum menjadi perunding kepada antara dua agensi sukan terbesar dunia - Dentsu Sports dan IMG pada 2014.
Beliau dilantik sebagai Naib Presiden Dentsu Sports selama empat tahun sehingga 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!