PM tawar pembangkang sertai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau berkata, tawaran itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

"Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

"Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19," katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, dua peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

"Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaiki, merawat dan memulihkan semula tanah air ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!