Kerajaan pastikan inisiatif, strategi PICK diperhebat

Kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat. Gambar hiasan
Kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, saranan tersebut dibuat bagi mencapai sasaran imuniti kelompok dengan lebih awal seterusnya segera beralih ke fasa pemulihan.

“Melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia.

“Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.

“Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok,” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mengambil kira situasi Covid-19 di seluruh dunia, umum mengetahui bahawa varian wabak tersebut sentiasa berevolusi.

“Bermula daripada varian Alpha kepada Beta, dan yang terkini ialah varian Lambda.

“Oleh itu, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam negara,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!