Suami sempat hantar swafoto sebelum maut kemalangan
LUMUT - Mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan enam motosikal di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh, Setiawan di sini pada Sabtu sempat menghantar gambar swafoto kepada isterinya yang sedang hamil anak pertama mereka, sebelum nahas.
Mohd Nur Hisham Hassan, 29, yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas, bersama seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Suhail Zainal, 22, dan pemboncengnya, Hasrandy Bahrum, 27, maut di tempat kejadian akibat cedera parah dalam kemalangan pada jam 5.30 petang.
Isteri Mohd Nur Hisham, Nur Syahirah Abdullah, 25, berkata, beliau berasa tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu terjadi apabila suaminya yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja gagal dihubungi.
Beliau berkata, suaminya sempat menghantar gambar swafoto 10 minit sebelum habis kerja pada jam 5 petang dan berasa pelik suaminya masih belum pulang kerana kebiasaannya dalam 10 minit sudah sampai rumah.
“Saya kemudian mencari suami di rumah rakannya di sekitar taman perumahan dan terkejut apabila mereka memberitahu sedang mengenal pasti mangsa rempuhan kereta melalui sebuah video yang tular di aplikasi WhatsApp.
“Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian tetapi semua mangsa telah dibawa ke hospital. Saya cuma dapat mengecam sebuah topi keledar di tempat kejadian yang saya pasti milik suami saya, luluh perasaan saya ketika itu,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Seri Manjung di sini pada Ahad.
Nur Syahirah reda dengan pemergian suaminya itu biarpun mereka sepatutnya sedang ‘berbahagia’ menanti cahaya mata apabila beliau disahkan hamil tujuh minggu selepas berkahwin dua tahun lalu.
Beliau juga tidak menyangka perbualan dengan suami mengenai kematian, akhirnya menjadi kenyataan seawal ini, namun tidak akan lupa nasihat suami agar menjaga akhlak dan sentiasa kuat sekiranya apa-apa terjadi kepada dirinya.
“Cuma saya berasa sedih apabila semalam beliau pergi kerja tanpa memegang dan bercakap dengan baby (bayi) dalam perut seperti kebiasaan sebelum ini. ALLAH lebih sayangkan dia,” katanya yang bekerja sebagai pereka baju di sebuah syarikat pakaian di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Preve tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan merempuh kumpulan penunggang motosikal.
Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan empat penunggang motosikal dan dua penumpang kereta Proton Preve itu cedera parah dan dirawat di Hospital Seri Manjung, manakala pemandu kereta berusia 38 tahun tersebut melarikan diri. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut nahas lima kenderaan di SitiawanMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!