Lelaki dikhuatiri hilang selepas tercampak ke laut
LANGKAWI - Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas tercampak ke laut apabila bot fiber yang dinaikinya terlanggar boya di 0.5 batu nautika, selatan Pulau Lalang, Langkawi sekitar jam 10 pagi pada Ahad.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, akibat pelanggaran itu, empat kru yang menaiki bot fiber pendaftaran KHS 1774 telah tercampak ke laut ketika bot masih bergerak.
Menurutnya, tiga mangsa berumur lingkungan 18 hingga 53 tahun berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan sekitar jam 10.20 pagi, namun seorang lagi kru, Mohamad Ewandi Husnan, 22, masih hilang.
"Sehubungan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Ccarilamat) sebaik menerima aduan awam.
"Operasi ini masih dipergiatkan di kawasan berhampiran sehingga jam 7.30 malam dan akan bersambung esok mulai jam 7 pagi sekiranya mangsa masih belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, salah seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan patah hidung, manakala dua lagi mangsa cedera ringan.
Jelasnya, ketiga-tiga mangsa dilaporkan stabil dan telah dihantar oleh bot nelayan tempatan ke daratan yang berpengkalan di Sungai Menghulu, Langkawi.
"Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan. Bot yang dinaiki mangsa bergerak tanpa pengemudi dan ditemui tersadai di daratan Pulau Lalang pada jam 12.20 tengah hari tadi," katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!