Jangan lindungi kleptokrat, kluster mahkamah: PKR Selangor
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akur pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan, namun menggesa golongan kleptokrat dan kluster mahkamah tidak dilindungi oleh mana-mana pihak.
Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, kumpulan itu yang menyokong kerajaan perlu dibicarakan dengan adil dan saksama tanpa campur tangan cabang eksekutif.
Menurutnya, sebagai contoh pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan 47 pertuduhan membabitkan salah guna dana sebuah yayasan.
"PKR Selangor turut mendesak polis melakukan siasatan semula ke atas kes video intim yang memaparkan seorang individu yang menyerupai seorang ahli Parlimen daripada blok kerajaan.
"Polis juga diminta tidak melengahkan siasatan kes seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa rogol kepada dua lelaki yang dikaitkan dengan setiausaha politik ahli Parlimen tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Halimey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia berkata, PKR Selangor konsisten dengan pendirian bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak diangkat sebagai Perdana Menteri.
"Namun dalam perlumbaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tempoh hari, beliau telah membuktikan dirinya tidak gila kuasa dengan mengekalkan prinsip tidak mahu berkompromi dengan golongan pengkhianat dan kleptokrat.
"PKR Selangor berpegang teguh dengan pendirian, seharusnya mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dikembalikan kepada kerajaan yang telah dipilih rakyat pada 9 Mei 2018 iaitu Pakatan Harapan (PH). Namun, kemenangan tersebut telah dirampas oleh golongan pengkhianat dan kleptokrat," katanya.
Beliau menganggap situasi itu merupakan cabaran buat gabungan pembangkang untuk bekerja lebih gigih dan yakin PH Plus bersama Pejuang serta Warisan akan semakin kuat untuk menghadapi PRU15.
"Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.
"Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi demi rakyat.
"Apabila keadaan sudah stabil, kita siap untuk bertempur bagi mengembalikan semula mandat rakyat dalam PRU15," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!