Pilih anggota kabinet berkualiti

Jumlah ahli pasukan kabinet kali ini lebih baik dikecilkan dan dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak serta berkualiti untuk mengetuai kementerian terlibat.
Jumlah ahli pasukan kabinet kali ini lebih baik dikecilkan dan dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak serta berkualiti untuk mengetuai kementerian terlibat.
A
A
A

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan memberikan nafas baharu kepada pentadbiran negara untuk berfungsi dengan lebih lancar apabila jumlah ahli Parlimen yang menyokong beliau menunjukkan angka yang stabil berbanding sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, tugas Ismail Sabri dijangka lebih mencabar kerana selain perlu berhadapan keabsahan di Parlimen pada bulan September, beliau juga perlu menunjukkan kepimpinan baharu adalah lebih baik daripada Muhyiddin dalam meneruskan perjuangan membawa Malaysia keluar daripada kemelut Covid-19 dan masalah ekonomi.

Dalam mengharungi cabaran tersebut, Ahli Parlimen Bera itu memerlukan satu pasukan yang kuat kerana Ismail Sabri tidak akan mampu bekerja seorang diri.

Fokus kini tertumpu kepada barisan kabinet yang akan dipilih kerana silap percaturan pastinya akan melemahkan struktur pentadbiran kerajaan itu sendiri.

Oleh itu, adalah lebih baik jumlah ahli pasukan kabinet kali ini dikecilkan dan dianggotai oleh mereka yang benar-benar layak serta berkualiti untuk mengetuai kementerian terlibat.

Nilaikan hasil kerja mereka sebelum ini berdasarkan pencapaian, latar belakang, pengalaman dan bukannya pemilihan atas dasar timbal balas kerana memberikan sokongan politik.

Tidak perlu lagi melantik menteri-menteri yang kurang cerdik ataupun menteri yang tidak arif dengan tugas sendiri kerana ia pastinya menjadi beban kepada pentadbiran negara.

Portfolio jawatan besar perlulah diberikan kepada menteri yang selayaknya dan bukannya sekadar mahu memenuhi kuota.

Artikel Berkaitan:

Contohnya Kementerian Pendidikan, Kewangan, Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan yang menjadi tumpuan perlu diberikan kepada menteri yang kompeten dan pakar dalam bidang berkenaan.

Bidang kuasa yang bertindih perlulah disatukan supaya tiada lagi kenyataan cacamerba dan mencampuri urusan kementerian lain.

Paling utama elakkan melantik sebanyak-banyaknya menteri tugas-tugas khas yang kabur bidang kerjanya ataupun ramai penasihat bertaraf menteri yang pelantikan itu jelas bermotifkan politik semata-mata.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!