Lagu patriotik semai semangat cinta negara

Lagu patriotik berperanan besar dalam menyatu-padukan masyarakat dan melambangkan keutuhan serta perpaduan masyarakat.
Lagu patriotik berperanan besar dalam menyatu-padukan masyarakat dan melambangkan keutuhan serta perpaduan masyarakat.
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 ternyata banyak merubah kehidupan kita sehingga banyak perkara yang menjadi rutin selama ini terlepas dan berlalu begitu sahaja disebabkan perjuangan meneruskan kelangsungan hidup menjadi keutamaan.

Sedar tidak sedar, tahun ini kita bakal meraikan sambutan hari kemerdekaan yang ke-64 buat negara dan kali kedua dalam suasana pandemik yang menidakkan rutin sambutan hari paling bersejarah itu sebagaimana kebiasaan.

Dalam pada kita sibuk mengangkat bendera putih dan bendera hitam dengan misi tersendiri, ramai yang semakin lupa untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan berkongsi semangat patriotisme yang semakin menipis kini.

Justeru, semangat kekitaan dan cintakan negara itu wajar dipupuk semula dengan pelbagai pendekatan termasuk menyemarakkan kembali lagu-lagu patriotik untuk disajikan kepada umum.

Apatah lagi pada ketika situasi politik negara yang bercelaru sehingga sehingga mencetuskan pelbagai polemik dalam masyarakat terutamanya golongan anak muda, lagu-lagu yang meniupkan semangat jati diri dan kecintaan pada negara dilihat sebagai satu pendekatan yang baik.

Manakan tidak, lagu patriotik berperanan besar dalam menyatu-padukan masyarakat dan melambangkan keutuhan serta perpaduan masyarakat.

Masyarakat terutamanya generasi baharu perlu didedahkan dengan lagu- lagu patriotik untuk menyemarakkan rasa cinta mereka kepada tanah air sekali gus mempunyai keinginan tinggi mempertahankan negara daripada anasir-anasir negatif.

Mengimbau kembali dekad terdahulu, lagu-lagu patriotik menjadi antara medium penting menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Lagu-lagu seperti Bahtera Merdeka, Saya Anak Malaysia, Warisan, Setia, Tanggal 31 Ogos, Standing in the Eyes of the World, Jalur Gemilang dan banyak lagi menjadi begitu sinonim pada semua orang tanpa mengira lapisan umur dan bangsa.

Mesej-mesej penting yang dibawakan menerusi lagu-lagu patriotik ini ternyata berjaya menyuntik semangat positif dalam diri setiap orang.

Kreatif

Melihat kepada perkembangan hari ini, lagu-lagu patriotik masa kini dilihat semakin terpinggir dan jauh dari arus perdana. Apatah lagi apabila ada yang menganggap penghasilan lagu genre ini lebih terarah kepada propaganda pihak kerajaan untuk tujuan tertentu.

Hakikatnya, lagu-lagu ini berperanan besar dalam menyemai semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.

Tidak hanya untuk menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan semata-mata, tetapi lagu ini juga mampu menyuntik semangat setiap anak bangsa yang berjuang untuk negara tidak kira dalam bidang atau lapangan apa sekali pun.

Misalnya ketika berlangsungnya acara sukan berprestij yang membawa nama negara ke mata dunia seperti temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Lagu-lagu patriotik menjadi pembakar semangat mereka untuk berjuang demi negara tercinta.

Mungkin sudah tiba masanya lagu patriotik dijelmakan melalui pendekatan popular dan mempunyai unsur-unsur kontemporari yang boleh menarik perhatian.

Apa yang penting di sini adalah mesej dan pengisian yang ada pada lagu-lagu ini harus dikekalkan.

Pujian harus diberikan kepada penyanyi dan komposer Faizal Tahir yang dilihat begitu konsisten menghasilkan lagu-lagu patriotik bersifat komersial dan mesra arus perdana.

Antaranya seperti Gemuruh, Malaysia, Negaraku, Baik Semula dan lain-lain yang dilihat dapat diterima baik pendengar.

Tidak ketinggalan usaha serupa dilakukan syarikat rakaman Rocketfuel All Stars menerusi lagu Oh Malaysiaku. Terbaru, Universal Music Malaysia turut menampilkan lagu Malaysia Di Hatiku.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dalam memastikan lagu patriotik diterima masyarakat.

Pihak radio dan stesen TV juga harus memikul tanggungjawab dan menyiarkan lagu-lagu patriotik dari masa ke masa. Tidak hanya pada stesen kerajaan, tetapi juga kepada semua stesen radio dan TV tempatan. Ia harus dijadikan sebagai sebahagian daripada keperluan sosial rakyat.

*Wawann Mohd ialah Wartawan Hiburan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!