Gempar helikopter mendarat cemas
Pesawat tersebut sebelum itu dilihat terbang rendah sebelum melakukan pendaratan di padang sekolah itu diikuti kelibat beberapa krew keluar dalam keadaan tergesa-gesa dari pesawat kira-kira jam 7 pagi itu.
Penduduk termasuk pengguna jalan raya yang menghubungkan Kuala Besut dengan Seberang Jertih itu turut memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kejadian tersebut.
Jumlah orang ramai semakin meningkat terutama apabila sebuah jentera bomba TUDM dari Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) yang terletak tidak jauh dari situ tiba di situ.
Pada masa sama sebuah ambulan yang membawa sepasukan anggota paramedik turut tiba di tempat kejadian dan kelihatan beberapa anggota TUDM bersenjata api mengawal ketat kawasan tersebut.
Tidak lama kemudian beberapa anggota berpakaian seragam tentera seperti sedang mengalami kecederaan di bawa keluar dari pesawat kemudian diusung ke ambulan TUDM.
Selepas kira-kira empat anggota yang cedera di masukkan ke dalam ambulan, pesawat tersebut meneruskan penerbangan seperti biasa.
Sementara itu Pegawai Laksana (EXO) PUGK, Leftenan Kolonel Wan Zainal Abdin TUDM ketika dihubungi memberitahu, kejadian tersebut hanya latihan yang dilaksanakan PUGK.
Menurutnya, senario latihan ialah helikopter jenis EC 725 Cougar itu sedang melakukan penerbangan latihan rutin itu tiba-tiba mengalami masalah teknikal.
“Keadaan itu menyebabkan pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan cemas di padang sekolah itu dan pada masa sama ada anggota dan krew yang mengalami kecederaan,” katanya.
Wan Zainal berkata lagi, latihan yang bermula jam 7 hingga 8.15 pagi itu sebenarnya adalah salah satu dari latihan untuk menguji kecekapan pasukan penyelamat TUDM khususnya di PUGK iaitu Bomba TUDM, paramedik dan Provos PUGK.
Menurutnya, latihan tersebut sengaja dilakukan di luar kawasan pangkalan untuk memastikan ia seperti kejadian sebenar berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!