Pelarian Rohingya terperangkap dalam selut
KANGAR - Seramai 35 etnik Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak ditemui ‘terperangkap’ dalam selut selepas ditinggalkan oleh tekong disyaki sindiket kira-kira 500 meter dari Pantai Sungai Belati, Sungai Baru, 7.30 pagi tadi.
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Kapten (PA) Ruhaizul Mansor berkata, mangsa berusia antara 7 hingga 40-an dipercayai menaiki bot dan mendarat di kawasan itu setelah tiba ke negara ini.
Menurutnya, 26 wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan itu ditemui orang awam yang melihat mereka cuba berjalan dalam kawasan selut untuk ke darat.
“Ketika diselamatkan, terdapat 12 mangsa berada dalam kawasan berlumpur berhampiran kuala Sungai Baru, dalam keadaan keletihan dan tidak dapat bergerak kerana lumpur yang dalam semasa air laut surut,” katanya.
Ruhaizul berkata, mangsa berjalan sambil mendukung kanak-kanak yang menangis ketika menyelamatkan diri ke darat.
“Anggota dan agensi terlibat memberi bantuan menyelamat dengan menggunakan tali dan papan untuk menarik keluar mangsa ke kawasan selamat, dengan dibantu orang awam. Kesemua mangsa kemudian diberikan rawatan selepas diselamatkan akibat kesejukan dan kelaparan,” katanya.
Menurutnya, penduduk kampung turut memberikan makanan dan minuman kepada pelarian tersebut.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan berlumpur pada 8.50 pagi, dan dibersihkan oleh orang kampung serta diberikan pakaian bersih. Operasi menyelamat itu tamat sekitar 10.30 pagi,” katanya.
Antara agensi yang membantu dalam misi itu termasuk, polis, Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan orang awam.
“Kesemua pelarian itu diserahkan kepada polis dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!