Kelantan setuju beli vaksin Covid-19

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia membeli vaksin dalam masa terdekat sekiranya kes jangkitan Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan peningkatan luar biasa.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin bagaimanapun berkata, pembelian itu akan mengambil kira jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada kerajaan Persekutuan sama ada mencukupi atau sebaliknya.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk membeli vaksin.

"Jumlahnya saya serahkan kepada Menteri Besar untuk membuat pengumuman," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Dr Izani berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, pembelian vaksin merupakan antara usaha terbaik dalam melawan dan mencegah jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat di negeri ini selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, Kelantan ketika ini berada pada landasan terbaik bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi imuniti kelompok.

"Mengikut perancangan (dengan bekalan vaksin semasa), imuniti kelompok ini dapat dilengkapkan pada pertengahan Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

"Besar harapan saya apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Lembah Klang selesai, bekalan vaksin dapat terus disalurkan ke Kelantan dalam jumlah yang banyak" jelas beliau.

Tambah Dr Izani, setakat ini sebanyak 54 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama.

"Sebanyak 34 peratus pula sudah melengkapkan dos kedua sejak PICK berjalan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!