SPRM diminta siasat dakwaan salah laku, rasuah babitkan polis

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Seng hari ini meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat beberapa dakwaan salah laku dan rasuah melibatkan 15 anggota dan pegawai kanan polis.

Lim mendakwa kejadian salah laku dan rasuah itu melibatkan pegawai kanan pelbagai pangkat dan anggota polis lain-lain pangkat.

“Hari ini saya di SPRM menghantar surat berhubung laporan seorang pelabur di ibu kota mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM7.9 juta di kondominiumnya selepas digeledah sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur 8 September lalu.

“Selain itu, saya juga memohon SPRM menyiasat dakwaan seorang wanita dirogol anggota polis di dalam tandas di sebuah balai polis di Sarikei, Sarawak pada 30 Oktober tahun lalu dan dakwaan anggota polis memberi suapan kepada pegawai atasan di Bukit Aman bagi tujuan untuk naik pangkat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan surat itu di Pejabat SPRM Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pelbagai pihak termasuk mangsa, orang awam dan pegawai serta anggota polis sendiri berhubung dakwaan salah laku itu sejak beberapa tahun lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!