Hampir 97 peratus guru di NS sudah divaksin

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Hampir 97 peratus daripada 17,345 guru di Negeri Sembilan sudah menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos, sebagai persediaan pembukaan sekolah pada Oktober nanti.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Md Fiah Md Jamin berkata, seramai 16,662 guru di negeri ini telah menerima suntikan vaksin dan hanya kira-kira tiga peratus sahaja masih belum divaksin disebabkan faktor kesihatan.

Katanya, antara penyebab guru belum divaksin adalah kehamilan, menyusukan anak dan faktor kesihatan yang mana ia tidak dapat dilakukan pada masa sekarang, namun akan diambil pada masa akan datang.

"Di Negeri Sembilan kita tidak ada isu guru yang tidak mahu divaksin, sebaliknya semua guru telah pun menerima vaksin masing-masing, malah peratus guru yang divaksin juga adalah tinggi iaitu menghampiri 97 peratus.

"Malah jumlah guru yang berdaftar vaksin di MySejahtera adalah 100 peratus bagi sekolah rendah dan 99 peratus bagi sekolah menengah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, semua guru dan kakitangan sokongan di sekolah sudah bersedia untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka.

Jelas Md Fiah, semua guru dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, biarpun mereka sudah lengkap menerima vaksin.

Pada Ahad, media melaporkan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!