Sultan Selangor titah SPRM ambil tindakan terhadap perasuah

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengaminkan doa selepas menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Yang Ke-14, hari ini. Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengaminkan doa selepas menyampaikan titah ucapan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor Yang Ke-14, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi membersihkan negeri ini daripada amalan rasuah.

Sultan Selangor bertitah, baginda berharap agar pelaku rasuah dapat dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman berat jika disabitkan bersalah bagi menyampaikan mesej penolakan rakyat terhadap gejala ini.

Baginda turut menzahirkan rasa kesal berikutan masih terdapat penjawat awam dan pemimpin politik yang tidak jujur dalam menjalankan amanah walaupun telah diberi ingatan sebelum ini.

“Beta mengingatkan sekali lagi bahawa beta tidak mahu mendengar sebarang laporan tentang penglibatan mana-mana pegawai kerajaan dan pemimpin politik negeri beta di dalam amalan rasuah ini,” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor yang Ke-14 Tahun 2021, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin turut bertitah impian Selangor bagi menjadi negeri maju akan sukar dicapai sekiranya ada pemimpin politik dan pegawai kerajaan berterusan mementingkan kuasa serta kedudukan dengan menjadikan rasuah sebagai budaya hidup.

Titah baginda, tindakan ini akan menyebabkan pihak terlibat mengetepikan kepentingan rakyat dan tidak berusaha memajukan semula ekonomi negeri yang teruk terjejas akibat Covid-19.

"Beta bimbang, pada usia 75 tahun ini, beta tidak sempat untuk melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan pesat membangun dengan segala kemudahan yang menjamin keselesaan rakyat seperti kita semua idamkan," titah baginda.

Selain itu, baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen semua petugas barisan hadapan dalam memberi rawatan kepada pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Beta sangat menghargai semangat mereka yang tidak pernah luntur dalam melaksanakan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat beta,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!