Komitmen Openg sebagai wartawan wajar jadi ikutan generasi muda
KUCHING - Komitmen tinggi terhadap tugas, selain sentiasa berusaha untuk menghasilkan sumbangan yang terbaik dan memperbaiki diri merupakan sifat Openg Onn Net yang wajar dicontohi generasi wartawan muda sekarang, kata seorang wartawan veteran di sini.
Dr Jeniri Amir yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara berkata, penubuhan Bernama Radio yang sebelum ini dikenali sebagai Radio24 merupakan legasi terbesar ditinggalkan Openg, 62, yang meninggal dunia pada malam Ahad selepas menderita penyakit kanser sejak Februari lepas.
“Empat atau lima hari lepas, beliau (Openg) berkata (menerusi WhatsApp) beliau akan menjalani pembedahan dan risiko (pembedahan itu) sangat tinggi, jadi, saya dah rasa lain. Empat bulan terakhir ini, saya rasa beliau sangat menderita (akibat penyakit itu),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini pada Isnin.
Menurut Jeniri, beliau mengenali Openg sejak tahun 1982 selepas menamatkan pengajian di universiti dan kedua-dua mereka berkongsi minat dalam aktiviti seni sastera dan penulisan, selain Openg turut menyerlahkan bakat dalam bidang teater.
“Kami juga berminat dalam penulisan buku dan saya menggalakkan beliau untuk menulis sebuah buku yang mengumpulkan pengalaman beliau di Indonesia dan beliau lakukan,” kata Jeniri berhubung inisiatif Openg menghasilkan buku bertajuk 'Indonesia Dari Sebuah Jendela: Catatan Seorang Wartawan'.
Sementara itu, bekas Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang menganggap jasa dan khidmat bakti Openg kepada Bernama adalah tidak ternilai, di samping sentiasa menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan sifat keperibadian yang merendah diri dan tulus ikhlas.
“Pada saya, kemuncak perkhidmatannya sebagai wartawan di Bernama ialah semasa enam tahun berada di Jakarta sebagai Koresponden Bernama di Indonesia pada awal dekad 2000,” katanya yang sedih selepas menerima berita pemergian Openg lewat malam Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas editor Bernama meninggal dunia
Menurutnya, Openg melakukan tugas dengan cemerlang melaporkan pergolakan di negara besar itu yang antara lain dilanda krisis politik dan kekerapan pertukaran kepimpinan di peringkat Presiden, sebelum menghasilkan buku berkenaan.
“Seperti tercatat tulisan saya pada ruangan ‘Kata Pengantar’ buku tersebut, ini bukan suatu perkara yang mudah, malah kejayaan yang luar biasa,” katanya tentang buku setebal 600 muka surat yang mencatatkan peristiwa-peristiwa penting dan pengalaman Openg sebagai wartawan di Indonesia itu.
Tambahnya, Bernama Radio yang kini berusia 14 tahun juga bermula daripada cetusan idea Openg kepada pengurusan Bernama yang menjadikan Radio Elshinta di Indonesia sebagai model, dan kejayaan ini adalah satu lagi projek yang menyerlahkan komitmen Allahyarham. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!