Tular pekerja kilang bergelang 'pink' merayau di Sungai Siput
SUNGAI SIPUT - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada Isnin tampil memberikan penjelasan mengenai gambar tular mendakwa beberapa pekerja asing sebuah kilang memakai gelang berwarna merah jambu merayau di Sungai Siput pada 19 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan pihaknya mendapati pekerja tersebut telah diarahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar untuk hadir ujian saringan Covid-19 di kilang mereka bekerja pada hari yang sama gambar tersebut tular di Facebook.
Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan susulan enam pekerja kilang terbabit disahkan positif Covid-19.
"Setelah selesai ujian saringan itu, pekerja-pekerja tersebut dipakaikan gelang berwarna merah jambu dan diarahkan untuk pulang ke asrama pekerja.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati gambar yang tular tersebut menunjukkan pekerja kilang dalam perjalanan pulang ke asrama dan ada sebahagian yang singgah di kedai berhampiran membeli barang keperluan sepanjang tempoh kuarantin," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.
Mohd Khaizam berkata, berdasarkan tinjauan oleh pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di lokasi berkenaan dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang pelanggaran SOP berlaku.
Menurutnya, semua pekerja yang terlibat berada di asrama masing-masing.
Pada 19 Ogos lalu, gambar menunjukkan beberapa warga asing yang memakai gelang berwarna merah jambu itu tular di Facebook dan mendapat perhatian netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!