Sindiket ah long libatkan pinjaman RM1.5 juta tumpas

Ayob Khan menunjukkan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta surat pengesahan majikan yang palsu dan barang-barang dirampas daripada sindiket ah long pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin.
Ayob Khan menunjukkan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta surat pengesahan majikan yang palsu dan barang-barang dirampas daripada sindiket ah long pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket ah long yang beroperasi sekitar daerah ini melibatkan pinjaman RM1.5 juta selepas menahan tiga lelaki tempatan pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia 27 hingga 47 tahun dan sindiket itu didapati sudah beroperasi sejak hujung 2019.

"Mereka menyasarkan peniaga khususnya peniaga kecil dengan menawarkan pinjaman antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan kadar faedah bulanan sebanyak lapan hingga 15 peratus.

"Setakat ini seramai 80 peminjam dikesan menjadi peminjam berulang dengan jumlah pinjaman dianggarkan RM1.5 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Isnin.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan berasingan pada 17 Ogos lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat kegiatan khianat.

Menurutnya, lelaki tersebut, 41, menyimbah cat ke rumah peminjam di sekitar Batu Pahat dan Segamat dengan menerima upah RM350 untuk setiap rumah yang disimbah cat.

"Setakat ini suspek telah melakukan khianat ke atas empat buah rumah di daerah tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ayob berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang (membantu kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen).

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan sama, Ayob memberitahu, dari Januari hingga 15 Ogos lalu JSJK Johor telah membuka 128 kertas siasatan melibatkan kes ah long dan daripada jumlah itu, 59 kertas siasatan sudah dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, seramai 78 suspek telah ditangkap dan 21 daripadanya merupakan tangkapan bersindiket manakala 57 lagi adakah pemilik 'mule account'.

"Polis Johor menyeru dan mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan elemen pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

"Sekiranya mempunyai informasi bersabit kegiatan ini, laporkan kepada polis melalui Pegawai Risikan/Operasi JSJK Johor, Asisten Superintendan Timmy Anak Aheng menerusi talian 019-7773728 atau 013-2111222 atau 07-2254074," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!