Nasib ejen pemasaran lumpuh sebelah badan dapat perhatian
SEREMBAN - Seorang ejen pemasaran yang kini lumpuh sebelah badan akibat jatuh tangga pada 2 Ogos lalu, memerlukan bantuan bagi menampung keperluan keluarga.
Isterinya, Wan Sau Teng, 48, ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Kaya, di sini berkata, suami, Lee Yeow Pong, 50, yang dulu merupakan seorang yang tegas dan kuat bekerja, kini menjadi orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami pendarahan di bahagian otak kanan akibat kecelakaan itu.
Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 lalu, suaminya tidak bekerja dan hanya membuat kerja sendiri bagi menampung perbelanjaan harian.
"Namun semuanya menjadi semakin buruk sejak dia jatuh tangga, dan selepas menjalani pembedahan, seluruh bahagian kiri badannya pula lumpuh menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar di atas katil.
"Saya hilang mata pencarian dan tiada sumber pendapatan kerana sebelum ini semuanya diuruskan oleh suami.
"Rumah saya sudah enam bulan tidak dibayar, dan pihak bank sudah memberi notis untuk melelong rumah jika tiada pembayaran dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nicole Tan di rumahnya pada Isnin.
Tambahnya, dia bersama dua anak berusia 13 dan 17 tahun buntu untuk menyelesaikan masalah yang ditanggung sehingga terpaksa meminta bantuan demi kelangsungan hidup.
Sementara itu, Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang berkata, pihaknya akan membantu sedaya upaya bagi mengurangkan beban keluarga ini.
"Pejabat saya akan memberi bantuan dari segi perubatan agar ketua keluarga ini boleh kembali sihat seperti biasa.
"Bantuan keperluan dapur juga kita akan beri melalui pemberian bakul makanan, lampin pakai buang, dan sedikit bantuan tunai untuk kegunaan mereka," katanya.
Tambahnya, keluarga ini juga akan diberi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat OKU Terlantar sebanyak RM500 sebulan.
Jelas Nicole, pihaknya juga akan menulis surat kepada peguam dan pihak bank bagi meminta budi bicara berhubung lelongan rumah memandangkan keluarga ini antara yang terkesan pendapatannya sejak PKP 3.0 dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!