Tiga ADUN Perak tak dibenarkan hadiri sidang dewan

Mohammad Zahir meninjau keadaan dewan utama persidangan dewan negeri yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini.
Mohammad Zahir meninjau keadaan dewan utama persidangan dewan negeri yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini.
A
A
A

IPOH - Tiga daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan keselamatan disebabkan Covid-19.

Menurutnya, keputusan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan pada Ahad mendapati seorang ADUN positif Covid-19, seorang wakil rakyat telah diklasifikasikan sebagai kontak rapat manakala seorang lagi dikesan masih belum mendapatkan suntikan vaksin.

"Kita berusaha untuk memastikan semua selamat ketika persidangan berlangsung dan atas faktor itu kita dinasihatkan oleh MKN dan KKM agar tidak membenarkan ketiga-tiga mereka hadir sepertimana diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Tiada kompromi dalam hal ini kerana kita mengambil kira risiko penularan wabak apatah lagi sejak beberapa minggu lepas berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta dan itu sedikit sebanyak menjadi kebimbangan kita," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan berangkat dan menzahirkan Titah DiRaja bersempena istiadat pembukaan rasmi persidangan DUN itu nanti.

Katanya, sesi soalan lisan pula akan bermula pada hari kedua persidangan diikuti sesi perbahasan usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran Titah DiRaja.

"Sesi penggulungan oleh semua ahli majlis mesyuarat kerajaan dijadualkan berlangsung pada Isnin berdasarkan portfolio masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Zahir turut mengesahkan, tiada usul tergempar termasuk menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dalam persidangan DUN ini.

Bagaimanapun katanya, Setiausaha Dewan Negeri telah menerima empat usul yang lain iaitu usul melantik keanggotaan Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

"Pelaksanaan usul-usul ini akan berlangsung pada Isnin depan selepas selesai penggulungan oleh menteri besar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Perak memperkenalkan dan mengguna pakai konsep gelembung pada persidangan dewan negeri selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

Ia merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kesemua 59 ADUN ditempatkan di empat ruang persidangan berbeza iaitu 39 di dewan utama, lapan di bilik sidang media sementara masing-masing empat di bilik mesyuarat PAC, bilik mesyuarat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan bilik mesyuarat Setiausaha Dewan Negeri.

Kali terakhir Persidangan Dewan Negeri Perak diadakan adalah pada Disember tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!