'Cadangan pindaan kahwin lebih umur pelik'
Amirudin Shari. - Foto Bernama
A
A
A
Mengakui cadangan agak pelik, soalan tambahan yang dibangkitkan Ahmad Mustain Othman (PH-Sabak) turut menarik perhatian semua Adun pada Sidang Dun termasuk Menteri Besar, Amirudin Shari.
Menjawab soalan itu, Amirudin menjelaskan, semua perlu berfikiran matang dalam isu itu.
“Enakmen undang-undang keluarga Islam dan perkahwinan ini direka bentuk bagi memastikan fungsi institusi kekeluargaan dapat dikawal lebih-lebih lagi berdepan zaman sekarang.
“Banyak isu berbangkit menyebabkan pindaan enakmen bagi perkahwinan bawah umur dilaksanakan.
“Bagi cadangan perkahwinan lebih umur, semua boleh berfikir sendiri dan jangan menyeksa pasangan jika tidak kemampuan,” katanya.
Mengulas soalan Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan) mengenai permohonan dan kelulusan bagi perkahwinan bawah umur untuk tahun ini, Amirudin berkata, sebanyak 60 kes direkodkan.
Katanya, sebanyak 48 permohonan perkahwinan bawah umur telah direkodkan yang mana 34 permohonan diluluskan dan 14 lagi ditolak.
“Permohonan ini adalah mengikut enakmen lalu iaitu sebelum diluluskan enakmen baharu. Ia merupakan permohonan lelaki bawah 18 tahun dan perempuan bawah 16 tahun.
“Selepas enakmen baharu diluluskan, setakat ini masih tiada permohonan dibuat. Manakala perkahwinan bukan Islam pula direkodkan di bawah Jabatan Pendaftaran,” katanya.
September lalu, Dewan Negeri Selangor sebulat suara meluluskan pindaan menaikkan had umur minimum perkahwinan orang Islam daripada 16 kepada 18 tahun.
Ia menjadi undang-undang selepas semua wakil rakyat sebulat suara menyokong rang undang-undang Enakmen Keluarga Islam (Selangor) (Pindaan) 2018 dan Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) (Pindaan) 2018.
Pindaan dibuat ‘berdasarkan kemaslahatan semasa’ dan melibatkan fasal memastikan kebajikan perempuan berusia bawah 18 tahun terpelihara dan tatacara permohonan kebenaran untuk berkahwin bagi lelaki dan perempuan berusia bawah 18 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!