Empat ditahan jual surat MITI, majikan palsu

Ayob Khan menunjukkan foto Nicholas Chai Jia Han yang dicari kerana dipercayai dalang sindiket pemalsuan surat MITI serta surat pengesahan majikan pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
Ayob Khan menunjukkan foto Nicholas Chai Jia Han yang dicari kerana dipercayai dalang sindiket pemalsuan surat MITI serta surat pengesahan majikan pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta surat pengesahan majikan untuk merentas negeri dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor dibantu JSJK Bukit Aman antara 8.30 hingga 10 malam itu turut menahan empat individu berusia 16 hingga 20 tahun.

Jelasnya, suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita itu menerima upah antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen palsu yang berjaya dijual.

"Polis turut merampas sejumlah telefon bimbit dan kad bank. Sindiket ini mengambil kesempatan atas keghairahan masyarakat yang ingin merentas negeri dengan menjual dokumen itu pada harga RM150.

"Kegiatan sindiket ini terbongkar selepas aktiviti pengiklanan yang dibuat menggunakan platform Facebook, Instagram serta aplikasi WeChat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Antara surat dan dokumen digunakan sindiket pemalsuan surat MITI serta surat pengesahan majikan untuk merentas negeri.
Antara surat dan dokumen digunakan sindiket pemalsuan surat MITI serta surat pengesahan majikan untuk merentas negeri.

Katanya, mereka mengubah suai surat kelulusan MITI menggunakan sebuah syarikat yang beralamat di Kempas di sini bagi meyakinkan orang ramai dan mengelirukan pihak berkuasa.

Tambah beliau siasatan lanjut mendapati, syarikat berkenaan tidak tahu mengenai kegiatan tersebut yang beroperasi sejak Mac lalu dan sudah menjual sebanyak 250 keping ke seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan memberitahu, polis kini sedang mengesan seorang individu bernama Nicholas Chai Jia Han, 21, yang dipercayai dalang sindiket berkenaan.

Alamat terakhir lelaki itu katanya, ialah di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!