21 Oktober keputusan cabar kelewatan pelaksanaan Undi 18

Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Oktober ini bagi keputusan permohonan 18 anak muda Malaysia mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran AVR. - Gambar hiasan
Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Oktober ini bagi keputusan permohonan 18 anak muda Malaysia mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran AVR. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 21 Oktober ini bagi keputusan permohonan 18 anak muda Malaysia mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan umur mengundi 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran pemilih secara automatik (AVR).

Anak muda terbabit mewakili Gerakan Undi 18 mengemukakan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar penghujahan menerusi aplikasi Zoom pada Isnin daripada peguam Gerakan Undi 18, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Datuk S Ambiga.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan, Azizan Md Arshad dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pihak kesemua responden.

Gurdial berhujah, pandemik Covid-19 tidak boleh digunakan sebagai alasan menangguhkan pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun kerana pendaftaran AVR boleh dilakukan oleh SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) secara dalam talian.

Katanya, pada 25 Mac lalu, SPR dalam satu kenyataan media menyatakan pendaftaran AVR dan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran cabaran yang dihadapi oleh SPR ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alasan Covid-19 tidak boleh diterima kerana AVR sepatutnya siap bulan lalu kerana kerajaan membuat pengumuman pada 10 Oktober 2019. Walau apa pun, tidak ada penjelasan yang mencukupi seperti yang diperlukan oleh undang-undang mengenai bagaimana dan mengapa Covid-19 telah menyebabkan sebarang kekangan dalam pelaksanaan Undi 18,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam penghujahan terhadap permohonan semakan kehakiman tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ambiga berkata, kelewatan proses pendaftaran Undi 18 tahun akan mewujudkan situasi tidak munasabah dan tidak rasional dalam sistem demokrasi negara,

“Seorang warganegara Malaysia berusia 18 tahun layak untuk menjadi calon pilihan raya tetapi tidak boleh mengundi dalam kawasan pilihan rayanya,” katanya.

Bagaimanapun, Shamsul berhujah, penguatkuasaan dan pelaksanaan pindaan perlembagaan tidak boleh dilakukan secara pengasingan dan perlu dilakukan bersama-sama kerana ia memberi kesan kepada permohonan pendaftaran oleh pemohon yang layak.

“Dalam permohonan pendaftaran, setiap orang yang layak akan membuat permohonan. Bagaimanapun, sebelum namanya didaftarkan dalam senarai pemilih, terdapat tempoh bantahan setiap bagi setiap suku tahun (setiap tiga bulan) bagi memastikan semua nama dalam daftar pemilih masih layak.

“Bagaimanapun, dalam AVR, nama boleh didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih.

Buat masa ini, tiada peruntukan untuk tempoh bantahan. Bagaimanakah jika seseorang itu tidak layak sebagai pengundi seperti seorang ditahan di hospital psikiatri atau bukan penduduk dalam kawasan pilihan raya...namanya tetap dalam daftar pemilih kerana AVR,” katanya.

Shamsul berkata, kerajaan tidak pernah mengatakan ia tidak mahu melaksanakan pindaan perlembagaan tetapi keadaan menjadi sukar disebabkan pandemik Covid-19 dan PKP dan pendapatnya turut dipersetujui oleh rakannya, Azizan, yang mengatakan SPR tidak boleh mendedahkan kepada umum setiap langkah yang diambilnya.

Seorang lagi SFC Raja Shahril berhujah, bukan semua urusan SPR boleh dilakukan dalam talian dan interaksi secara fizikal juga perlu bagi melaksanakan sesuatu siasatan bagi memastikan keberadaan seseorang pengundi.

Pada 2 April lalu, anak muda berkenaan memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan beberapa perintah mahkamah susulan tindakan responden menangguhkan pelaksanaan Undi 18, iaitu suatu inisiatif untuk menurunkan had usia mengundi warganegara dari 21 tahun kepada 18 tahun dan bagi membolehkan pendaftaran AVR.

Pada 17 Jun lalu, mereka mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan kerajaan melambatkan proses pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran AVR. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!