Besarnya dugaan orang yang baik

A
A
A

SEMASA saya masih bersekolah, masih teringat kata orang-orang tua sebelum ini, “Biasanya orang yang baik ini cepat mati. Ini kerana ALLAH sayang dia”. Selain itu, terdapat juga yang berkata, “Bukan senang nak jadi baik kerana ramai yang dengki”. Pun begitu, daripada memilih untuk menjadi jahat, lebih baik menjadi baik.

Persoalannya, siapakah yang selalu menjadi pembuli kepada mereka yang baik?. Adakah orang jahat yang benar-benar jahat sebagai pembuli atau mereka yang nampaknya baik tetapi sebenarnya jahat.

Kasihan sungguh orang yang baik. Jika tidak berkeras dikatakan lembik, bila mengakui kesalahan dikatakan suka mengalah dan bila meminta maaf dikatakan pengecut. Sebetulnya siapa yang baik?. Adalah jelas maksud baik ini tersangat luas dan mendalam maknanya.

Pendek kata, semua mengaku baik dan tidak sedikit pun mengatakan mereka jahat. Walaupun apa jua maknanya, apa yang yang penting ialah sikap yang baik itu dinilai oleh orang lain dan bukannya kita sendiri.

Mungkin hari ini, kita menilainya baik kerana sandiwaranya. Namun, apabila sandiwaranya telah terbongkar maka akan hilanglah nilai kepercayaan kita kepada mereka.

Berkaitan hal ini, Nabi Ibrahim tidak pernah putus berdoa kepada ALLAH, “Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.” (QS Ash-Shuara 26:84). Ini bermakna, balasan bagi orang yang baik akan disanjung berzaman-zaman lamanya.

Walaupun kebaikan kita dinilai oleh orang lain, adakalanya kerana fitnah dan buruk sangka daripada kelompok tertentu, tempiasnya datang juga kepada kita dan akhirnya dinilai sebagai jahat dan bermuka-muka.

Pada ketika inilah, orang yang benar-benar baik mula diuji. Berkaitan hal ini, banyak sungguh peristiwa yang boleh dikongsikan bersama. Saya masih ingat lagi satu peristiwa di mana ada seorang isteri yang cukup baik dan disukai oleh ramai orang telah disantau dengan begitu kejam sekali.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai ikhtiar telah dilakukan oleh suaminya untuk mengubati isterinya, namun akhirnya membawa maut juga. Malah ada juga sahabat yang cukup setia dan begitu bertanggungjawab dalam menjaga persahabatannya, namun telah ditikam belakang oleh kawan rapatnya sendiri.

Inilah padahnya fitnah. Pemfitnah pula bukannya calang-calang. Hendak dikatakan tidak solat, ada juga yang solat tetapi memfitnah. Jika hendak dikatakan bodoh, ilmunya bukan main tinggi lagi. Hendak dikatakan miskin, hartanya meninggi awan. Apa yang jelas, kaki fitnah ini bukannya tidak beragama, bukannya bodoh dan bukannya papa, namun mempunyai masalah hati yang cukup busuk serta pemikiran yang amat bercelaru.

Menurut Pak Hamka, haruslah disedari bahawa kita datang ke dunia ini bukanlah untuk menilik-nilik di hadapan cermin kehebatan diri kita. Sebaliknya kita datang ke dunia ini untuk membuat kerja, dan apa yang kita kerjakan itu pada hakikatnya bukan ‘Jasa’ seperti yang disangka kebanyakan orang, tetapi kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang hidup.

Kita singgah di dunia ini hanya sedetik sahaja berbanding dengan ribuan tahun umur dunia. Maknanya usia kita tidak lama. Walaupun telah berlalu 30 dan 40 tahun, rasanya seperti kelmarin. Manakala orang yang kita sayangi, mulai hilang seorang demi seorang. Kalaulah yang mati itu boleh hidup kembali lantaran ditangisi, agaknya manusia akan meminta kepada air hujan untuk menambah air mata bagi mengembalikan kerabatnya yang telah mati itu.

Pada hemat saya, jika bicara yang cukup halus oleh Bapak Hamka ini masih lagi belum boleh menyentap hati kita untuk insaf dengan perilaku sebagai ‘pembuli’, saya tidak tahu lagilah bagaimana dan di manakah mereka harus rendam hatinya supaya bersih dan suci. Hanya hidayah daripada ALLAH sahaja yang boleh membantu golongan ini.

Bidalan Melayu pernah menyebut, ‘Penat kaki boleh berhenti, berat beban siapa membawa’. Tidak dinafikan bahawa mereka yang dianiayai akan menanggung beban yang cukup berat. Perasaan sedih, marah, kecewa, malu dan lemah semangat adalah ‘pakaian’ yang silih berganti menyelimuti badannya. Jika mereka yang tiada daya tahan, boleh dibuat gila jadinya.

Namun ALLAH telah berfirman, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, ‘kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka. Maka (dengan ujian yang demikian), ALLAH pasti mengetahui orang yang benar-benar beriman dan orang yang berdusta. (QS Al-Ankabut 29:2-3)

Kadangkala, sukar juga untuk menerima dugaan sebegini. Apatah lagi jika orang-orang alim mengatakan bahawa ujian dan dugaan ini adalah rezeki untuk kamu. Namun itulah hakikatnya, tanpa ujian kita tidak akan diangkat ke darjat yang lebih tinggi. Jika mereka masih mengata, kita tidak perlu membalas dan mempertahankan diri. Apa yang harus kita lakukan ialah mara terus ke hadapan bagi mencari keredaan ALLAH.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!