Chong Wei, Azizulhasni suntik motivasi kontinjen Paralimpik Tokyo

Lee Chong Wei, Azizulhasni
Lee Chong Wei, Azizulhasni
A
A
A

SEMANGAT atlet paralimpik yang akan berjuang pada Sukan Paralimpik Tokyo nampaknya semakin membara apabila menerima suntikan motivasi daripada dua ikon sukan negara.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan jaguh berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak ketinggalan untuk tampil melonjak semangat barisan atlet ‘luar biasa’ di Jepun menjelang pembukaan rasmi malam Selasa.

Chong Wei yang pernah memenangi pingat perak acara perseorangan lelaki badminton tiga kali berturut-turut di Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 percaya atlet paralimpik mampu mengharumkan nama negara dengan menampilkan aksi terbaik di Jepun.

“Selamat berjuang, atlet negara! Ayuh, rakan-rakan sekalian! Marilah bersama-sama kami menyokong dan bersorak bagi hero-hero negara kami!” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook dan Instagram pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni yang merangkul gangsa di Rio 2016 dan perak di Olimpik Tokyo bagi acara keirin lelaki baru-baru ini, menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada wira dan wirawati negara dalam temasya berprestij itu.

“Kepada semua rakan-rakan atlet Paralimpik, saya ingin ucapkan semoga berjaya, buat yang terbaik dan kami di Malaysia akan mendoakan kejayaan anda semua di sana. Ganbatte Team Para Malaysia,” katanya dalam laman Facebook dan Instagram.

Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibarkan Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara di sini.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini menyasarkan kontinjen negara untuk membawa pulang tiga emas, menyamai rekod di Rio 2016 yang merupakan pencapaian terbaik sejak mula menyertai temasya itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman.

Artikel Berkaitan:

Tiga emas di bumi Brazil itu disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly dalam lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Seramai 4,400 atlet dari 160 negara akan bertanding dalam 22 jenis sukan ditawarkan pada temasya Paralimpik di negara matahari terbit itu yang akan berakhir 5 September ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!