Sepupu bangga 'Poksu Yie' dilantik PM kesembilan
KOTA BHARU - Walaupun jarang berjumpa, namun sebagai individu yang mempunyai pertalian saudara, kami amat berbangga dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, kata sepupu beliau, Che Rahimah Othman ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gertak Lembu dekat Salor di sini.
Che Rahimah, 68 berkata, dalam kalangan saudara-mara, Ismail Sabri yang dipanggil ‘Poksu Yie’ akan singgah ke Salor sekiranya beliau berkunjung ke Kelantan atas tugasan rasmi.
"Kami tahu walaupun beliau tidak dilahirkan di sini (Kelantan), namun tahu asal usul kampung kedua orang tuanya di sini (Kampung Gertak Lembu, Salor).
“Walau sesibuk manapun beliau, sekiranya ada tugasan di Kelantan kami tahu ‘sebelah kaki’ beliau akan berkunjung ke sini khususnya untuk menikmati nasi kerabu di Salor yang amat digemarinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Ahad.
Jelasnya, Perdana Menteri sebenarnya mempunyai ramai saudara-mara di kampung itu selain di Tendong, Pasir Mas dan pernah membawa bersama keluarganya ke sini.
Che Rahimah berkata, dengan pelantikan Poksu Yie sebagai Perdana Menteri Kesembilan, diharap beliau dapat menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dan meneruskan apa yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani Covid-19.
Che Rahimah yang lebih 30 tahun mengusahakan ‘etok salai’ (kerang sungai) kini masih menetap di kampung itu bersama suaminya, Nordin Mat Ali, 71, dan mempunyai lima orang anak.
Sementara itu, anak Che Rahimah, Siti Norzihan Nordin, 37, berkata, Poksu Yie adalah seorang yang amat mementingkan tali persaudaraan walaupun tinggal di Pahang.
Katanya, kali terakhir bertemu dengan Perdana Menteri itu adalah beberapa tahun yang lalu ketika dia hadir ke majlis perkahwinan anak saudara Poksu Yie di Temerloh, Pahang.
"Sebenarnya saya dan penduduk di sini amat berbangga dengan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kerana tahu asal usul keluarganya di sini, apatah lagi mempunyai tali persaudaraan.
“Setakat yang saya kenal beliau seorang yang merendah diri dan sering bertanya khabar saudara-mara walaupun jauh.
"Saya percaya beliau akan dapat menjalankan tugasan dengan baik walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran," katanya yang mempunyai dua anak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!