KPN dahului 695 penerima anugerah kebesaran Melaka
MELAKA - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mendahului senarai 695 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam hari ini.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, Acryl Sani menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Menurut kenyataan itu, turut menerima anugerah sama adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Selain itu, seramai 14 individu menerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud; ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann.
Tiga individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Darryl Goon Siew Chye; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Anselm Charles Fernandis dan Pengarah Eksekutif Perodua Auto Corp, Kazuyoshi Nagata.
Penerima-penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Abd Aziz Engan; Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Melaka, Shamsudin Sharif; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka, Haelmy Mohd Hanifah dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka, Mustafa Musa.
Selain itu, kerajaan Negeri Melaka turut menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka kepada pemain badminton negara, Aaron Chia Teng Fong dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah.
Menurut kenyataan itu, Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka akan diadakan selepas Melaka melangkah ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.
"Kerajaan negeri turut mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih teruk," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!