Penternak lembu ditemukan mati dipercayai ditikam, ditembak
SUNGAI PETANI - Seorang penternak lembu ditemukan mati dipercayai ditikam dan ditembak dalam kejadian kira-kira jam 8 malam di Bukit Selambau pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian mangsa berusia 38 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari kandang lembu ke rumahnya yang terletak kira-kira tiga kilometer dengan menunggang motosikal bersendirian.
Menurutnya, mangsa ditemui orang awam di tepi jalan dengan keadaan berlumuran darah lebih kurang jam 10.30 malam sebelum menghubungi pihak polis.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka di dada dipercayai akibat tikaman dan tembakan.
"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemui kelonsong peluru yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Adzli berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!