Sarawak catat 220 kes penipuan pinjaman tak wujud tahun lalu

No Image Caption
A
A
A

MIRI - Polis Sarawak merekodkan 220 kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan kerugian dianggar lebih RM1.5 juta pada tahun lepas selain melakukan 39 tangkapan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 31 kes dicatatkan, melibatkan kerugian berjumlah RM212,639.04.

“Pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ini pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya kes terbaharu melibatkan seorang peniaga berusia 47 tahun yang kerugian RM30,460.

Katanya lelaki itu menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp menawarkan pinjaman wang daripada sebuah syarikat pada 15 Februari lalu.

"Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dan telah dikehendaki membuat beberapa transaksi melalui mesin ATM CIMB Cawangan Boulevard Miri bagi urusan pemprosesan pinjaman duit RM100,000 tersebut," katanya.

Mustafa berkata mangsa yang terdesak serta terpedaya telah membuat lima transaksi bagi tempoh 16 hingga 28 Februari ke akaun CIMB milik suspek berjumlah RM30,460 sebagai bayaran untuk proses pinjaman.

"Mangsa sedar dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi selepas itu dan membuat laporan polis semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mustafa seterusnya menasihati masyarakat yang mahu membuat pinjaman wang agar melakukan proses itu dengan peminjam sah.

"Layari portal rasmi Polis Diraja Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!