Arteta ada masa sehingga Oktober
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta diberikan masa sehingga Oktober untuk cuba menyelamatkan Arsenal selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL).
Memetik laporan The Daily Telegraph, pengurusan Arsenal memberikan lima perlawanan lagi kepada Arteta untuk membawa The Gunners kembali berada di landasan kemenangan.
Arsenal menderita dua kekalahan kepada pendatang baharu EPL, Brentford 0-2 dan kemudian tewas kepada Chelsea dengan jumlah jaringan sama sekali gus menyaksikan masa depannya bersama kelab itu kini menjadi tanda tanya.
Arteta juga telah membelanjakan sekitar £100 juta utnuk mendapatkan pemain baharu pada permulaan musim ini, namun pasukan itu masih tidak berupaya untuk menjadi pencabar kejuaraan liga.
Arsenal akan menentang Manchester City pada 28 Ogos ini sebelum tempoh rehat antarabangsa pada September.
Kemudian mereka dijadualkan menentang Norwich, Burnley, Tottenham Hotspur dan Brighton yang melengkapkan lima perlawanan ujian buat Arteta.
Selepas itu, pengurusan Arsenal akan membuat keputusan sama ada akan mengekalkan khidmat Arteta di kelab itu ataupun tidak.
"Jika Arteta gagal, Arsenal akan memikirkan untuk mendapatkan Antonio Conte yang meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu," kata laporan itu.
Conte yang pernah membimbing Chelsea telah membawa Inter memenangi saingan Serie A musim lalu dan terpaksa meninggalkan pasukan itu ekorang masalah kewangan yang melanda San Siro.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!