Pasangan suami isteri buat 'eksperimen sosial' ditahan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Polis telah menahan pasangan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes tular 'eksperimen sosial' masuk ke beberapa kedai dan makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Putera 2 di sini pada jam 5 petang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Eksperimen makan di kedai tanpa vaksin lengkap dikecam

Shamsul Amar turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalammenjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tindakan seorang wanita melakukan ‘eksperimen sosial’ bersama suaminya yang dimuat naik di laman sosail Facebook bagi melihat sama ada individu yang tidak memperoleh vaksin lengkap dapat memasuki premis sebagaimana kelonggaran yang diberi kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin, mendapat kecaman netizen.

Dalam satu tangkap layar yang tular di media sosial sejak Ahad, individu tersebut tanpa segan silu menceritakan kejayaannya bersama suami pergi ke beberapa tempat termasuk kedai makan dan kedai gunting rambut tanpa ada sebarang halangan oleh pekerja mahupun pemilik premis.

Perkongsian wanita tersebut dikecam oleh pengguna media sosial yang menyifatkan perbuatan tersebut seolah-olah tidak menghormati undang-undang yang telah ditetapkan selain didakwa telah melanggar SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!