Siasat individu sebar perang dingin PKR, Bersatu
PASIR GUDANG - Tindakan individu yang tidak bertanggungjawab secara berterusan menyebarkan berita palsu dalam laman sosial dikhuatiri akan terus menjatuhkan reputasi Kerajaan PH.
Berikutan itu, Amanah Pasir Gudang diwakili Pengerusinya, Syed Othman Abdullah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Seri Alam, di sini, bagi menyelar tindakan pihak tersebut.
Menurutnya, individu terbabit dilihat gemar menyebar berita palsu sejak sebulan lalu dalam kumpulan WhatsApp walaupun pihaknya telah menegur perbuatan berkenaan.
"Tersebar lagi berita bahawa PKR tidak menyokong calon Bersatu yang mewakili PH pada PRK Semenyih.
"Sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali dan kami kira ia sengaja dilakukan untuk memporak-perandakan PH sekaligus mahu menjejaskan reputasi kepimpinan PH.
"Malah, sebelum ini, pelbagai berita yang tidak benar kerap disebarkannya sejak sebulan lalu," katanya selepas membuat laporan polis berkenaan, di sini, hari ini.
Syed Othman yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Johor berkata, pihaknya sentiasa bersedia menerima teguran tetapi bukannya cara menyebar berita palsu seperti yang dilakukan pihak tersebut.
"Berikutan itu laporan polis ini dibuat supaya siasatan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa ke atas pihak tersebut.
"Kami khuatir sekiranya perkara ini tidak dibendung, keutuhan PH akan memberi kesan pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!