Siasatan terowong Pulau Pinang: Raja Putra berbohong, kata PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan pemilik blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang mendedahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP Pulau Pinang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Katanya, kebanyakan pendedahan yang dibuat Raja Petra adalah palsu dan tidak sepatutnya dipercayai.
“RPK (Raja Petra Kamarudin) seorang pembohong. Dia selalu berbohong dan kamu masih mahu mempercayainya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Kempen Pemilikan Rumah 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Raja Petra menerbitkan beberapa siri artikel mengenai kertas siasatan SPRM membabitkan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang melibatkan Guan Eng dan beberapa pemimpin kanan DAP.
Sehubungan itu, SPRM hari ini telah membuat satu laporan polis terhadap Raja Petra.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, laporan terbabit telah dibuat semalam oleh pegawainya namun enggan mengulas lanjut di mana laporan itu dibuat.
Ujarnya, susulan laporan polis tersebut, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.
"Apa yang pasti saya telah meminta beberapa pegawai untuk berbuat demikian semalam," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!