Semua pemimpin perlu majukan Kelantan tanpa bermusuhan
KOTA BHARU – Semua pihak terutamanya pemimpin negeri perlu berganding bahu bagi memajukan Kelantan tanpa berlakunya permusuhan antara satu sama lain.
Datuk Hassan Mahmood (PAS-Tawang) semasa mencadangkan ucapan menjunjung kasih titah pembukaan Persidangan DUN Kelantan ke-14 oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkata, suasana bermusuhan antara beberapa parti politik sebelum ini perlu diubah ke arah yang lebih baik.
“Sebelum ini kita bermusuh dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), dengan UMNO, jadi kita ubah suasana, bermusuh ini antara perkara yang dilarang dalam agama. Kita mesti berpegang teguh pada ajaran agama.
“Kita semua perlu bersyukur kepada ALLAH sebab kita semua sekarang ini sudah berhijrah. Hijrah daripada suasana sebelum ini kita bercakaran antara satu sama lain.
“Sekarang ini alhamdulillah, kita sama-sama berada dalam kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Inilah ruang yang cukup baik untuk kita, ahli Yang Berhormat dan semuanya berganding bahu untuk memajukan negeri Kelantan.
“Jangan kita ubah suasana ini. Buat apa kita nak baloh (bergaduh), apa yang lepas sudah lepas. Cukuplah bergaduh, kita berhijrah daripada suasana tidak baik kepada suasana yang baik,” katanya.
Persidangan DUN Kelantan hari kedua iaitu pada Selasa disambung dengan sesi cadangan rakam ucapan menjunjung kasih kepada titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V manakala sesi pagi pula adalah sesi soal jawab secara lisan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, titah baginda Sultan Muhammad V juga menyebut soal kebajikan rakyat terutamanya golongan armalah dan sebagainya.
Maka, katanya, kerajaan juga perlu lebih menumpukan perhatian kepada kebajikan kumpulan berkenaan, terutamanya mereka yang mempunyai anak yang ramai dan hidup dalam keadaan daif.
Sementara itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bangun menyokong cadangan menjunjung kasih titah tuanku itu juga memberitahu, dalam titah yang sama, tuanku turut berpesan supaya semua pihak menghentikan polemik, konflik dan sengketa.
Katanya, beliau sering kali diselubungi perasaan pelik apabila memikirkan hanya orang Melayu dan Islam sahaja yang suka bersengketa sedangkan persengketaan dilarang dalam agama.
“Saya harap dengan tertubuhnya kerajaan baharu, kita perlu bekerjasama walaupun kita daripada parti yang berbeza, sebab ideologi kita hanya satu, untuk mencari keredaan ALLAH.
“Kita nak ke Mekah, ada orang naik kereta, naik kapal terbang, naik kapal dan sebagainya. Namun matlamatnya hanya satu. Bezanya naik kenderaan apa. Marilah bersama-sama membina negara ini kerana itulah tanggungawajb kita.
“Saya cukup gembira Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan satu keluarga besar dalam Malaysia yang merentasi fahaman politik, maka mari kita bina keluarga Malaysia dengan keluarga kecil kita ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!